mutakhir

Lelaki maki polis ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Tindakan seorang lelaki bertindak agresif dengan memaki hamun anggota polis mengundang padah apabila ditahan di Kilometer 2.6 Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Lebuhraya Persekutuan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sepasukan anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menjalankan rondaan cegah jenayah di Jalan Tol Subang pada jam 1.15 pagi.

"Ketika melakukan rondaan, anggota bertugas menahan sebuah kereta dipandu oleh seorang lelaki berusia 28 tahun dalam keadaan menggunakan telefon bimbit.

"Anggota polis bertugas kemudiannya mengarahkan suspek untuk berhenti, namun lelaki itu enggan berbuat demikian sehingga memaksa mengekori kenderaan itu sebelum keretanya berhenti mengejut di Kilometer 2.6 Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Lebuhraya Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, suspek disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan bertindak agresif dengan melontarkan kata-kata kesat kepada anggota polis.

"Suspek bertindak menarik kolar baju anggota polis bertugas dan mengarahkannya supaya membuka uniform untuk bergaduh.

"Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal alkohol yang dilakukan terhadap suspek mendapati tahap alkoholnya di bawah paras yang tidak berisiko," katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati suspek terbabit mempunyai dua rekod jenayah atas kesalahan mencuri kenderaan serta ugutan jenayah.

"Suspek yang direman selama dua hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

"Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. Pihak polis tidak akan berkompromi dengan individu yang cuba menghalang penjawat awam melakukan tugas.

"Tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang cuba mencabar pihak polis. Orang ramai dinasihatkan supaya memberi kerjasama kepada pihak polis yang menjalankan tugas," katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2021 @ 10:58pm
d