mutakhir

Ambil kira pandangan belia sebelum hadkan umur

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Majlis Belia Negeri Sembilan (MBNNS) menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya mengambil kira pandangan pertubuhan belia dan membuat kajian semula mengenai keputusan mengehadkan umur pemimpin belia kepada 30 tahun ke bawah.

Presiden MBNNS, Mohd Fairos Rusli berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan pelaksanaan had umur berkenaan dengan mengambil kira beberapa faktor.

"MBNNS merasakan persatuan belia di semua peringkat di Negeri Sembilan masih memerlukan tempoh bagi transisi peralihan kepemimpinan daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

"Kami berpendapat penurunan had umur belia tanpa perancangan teliti sebenarnya bakal merencatkan pertumbuhan dan aktiviti berpersatuan dalam kalangan belia hari ini.

"Ketidakstabilan politik negara dan pandemik Covid-19 menjadi faktor yang mengganggu proses transisi peralihan serta pengkaderan kepemimpinan belia seperti dirancang sebelum ini," katanya.

Mohd Fairos berkata demikian pada sidang media ketika Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Sembilan, di sini, malam tadi, yang dihadiri Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Belia Daerah Seremban.

Mohd Fairos berkata, pihaknya menyokong penurunan had umur belia jika ia dibuat secara terancang dan keputusannya tidak dibuat secara terburu-buru sehingga membunuh pergerakan belia di seluruh negara.

Menurutnya, KBS diminta memperbanyakkan program kepemimpinan dan pembangunan modal insan dalam usaha melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis dan meminta Perdana Menteri supaya campur tangan dalam keputusan berkenaan.

Pada sidang Parlimen Rabu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan pelaksanaan umur 30 tahun ke bawah bagi pemegang jawatan pertubuhan belia akan berkuat kuasa bermula 1 Januari depan.

Sementara itu, Mohamad senada dengan MBNNS apabila menyatakan dasar dibuat KBS perlu diikuti dengan pelaksanaan program yang sesuai dan tidak meninggalkan persatuan belia terkial-kial.

Disiarkan pada: November 23, 2021 @ 3:58pm
d