mutakhir

'Saya kesal, orang guna gambar anak minta sumbangan'

Oleh Izad Thaqif Hassan

Kulim: Pelbagai dugaan terpaksa ditempuh pasangan suami isteri sepanjang menjaga anak lelaki mereka Muhammad Bilal Yusra Mohammad Azhar yang menderita penyakit Holoprosencephaly iaitu kecacatan tempurung kepala dan sumbing sejak lahir.

Selain anak bongsu daripada dua beradik itu, suami isteri berkenaan Mohammad Azhar Arzemi, 29 dan isteri Nurul Izzati Adawiyah Mohd Zaidi, 24, terpaksa berkorban menjaga seorang lagi anak mereka, Nur Khaulah Al-Azwar berusia empat tahun yang mempunyai masalah pendengaran kerana tiada cuping telinga kanan.

Namun, dalam situasi yang terpaksa ditempuh mereka, masih ada yang cuba mengambil kesempatan dengan melakukan penipuan menggunakan gambar anak mereka untuk menagih simpati dan sumbangan daripada orang ramai.

Malah, ada juga yang sanggup menyebarkan khabar angin mengatakan Muhammad Bilal Yusra sudah meninggal dunia sekali gus membuatkan tiada lagi orang yang datang menziarahinya.

Menjelaskan perkembangan anak bongsunya, Mohammad Azhar berkata setakat ini kesihatan Muhammad Bilal Yusra merosot dengan kepalanya semakin membesar serta kulit menjadi tegang hingga membuatkan mata dan telinganya ditarik ke bawah.

"Selagi terdaya, saya bersama isteri tetap berusaha dan berikhtiar untuk menjaga dua anak kami walaupun mereka tidak sempurna seperti insan lain.

"Buat masa ini, kami mencari pendapatan dengan menjual barang sejuk beku secara dalam talian untuk menampung kos perbelanjaan dan perubatan anak," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, jika diikutkan memang pendapatan diperoleh tidak cukup kerana selain kos perubatan anak yang mencecah RM3,000 sebulan, mereka juga perlu membayar sewa rumah dan terpaksa bergantung harap dengan meminjam wang daripada adik beradik.

"Namun, saya agak kesal kerana dalam situasi susah yang kami alami, masih ada orang lain mengambil kesempatan menggunakan gambar anak untuk meminta sumbangan.

"Ada juga yang menyebarkan berita palsu mengatakan Muhammad Bilal Yusra meninggal dunia dan saya sudah membuat laporan polis berhubung kes berkenaan kerana tidak tahu apa motif sebenar yang dilakukan individu itu," katanya.

Sejak anak bongsunya itu dilahirkan, Mohammad Azhar terpaksa berhenti kerja sebagai buruh kerana mahu memberikan perhatian penuh untuk menjaga anaknya yang perlu dipantau 24 jam.

Muhammad Bilal Yusra sebelum ini dijangka hanya boleh bertahan selama lima hari selepas dilahirkan namun sehingga hari ini dia masih boleh bernafas.

Orang yang mahu menyumbang bolehlah menghulurkan sumbangan ke akaun bank CIMB Mohammad Azhar Arzemi 7047468689 atau hubunginya di talian 0102195301.

Disiarkan pada: November 25, 2021 @ 8:32pm
d