mutakhir

Bawang pula naik harga

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Bukan saja harga sayur-sayuran naik malah bawang turut mengalami tiga kali kenaikan sejak bulan ini.

Tinjauan di Pasar Kampung Berjaya di sini, hari ini, mendapati harga bawang pelbagai jenis meningkat antara RM2 hingga ke RM6.

Peniaga, Mohd Azam Md Shukri, 32, berkata, harga bawang besar, bawang Holland, bawang kecil, bawang kecil Siam dan bawang putih naik sebanyak tiga kali pada bulan ini.

"Saya terpaksa jual bawang pada harga lebih tinggi, seperti bawang besar daripada lebih RM2 sekilogram kepada RM4 sekilogram, bawang Holland sekarang saya jual RM5 berbanding RM3 sekilogram sebelum ini. Bawang putih pula saya jual sebelum ini RM7 sekilogram dan sekarang jual RM10 sekilogram.

"Saya juga perlu mengeluarkan modal lebih tinggi apabila harga seguni bawang putih seberat lapan kilogram naik daripada RM40 kepada RM48, manakala seguni bawang besar seberat enam kilogram pula kini RM17 berbanding hanya RM14 sebelum ini.

"Setiap kali naik, saya perlu tambah modal dan sekarang sudah beberapa kali naik," katanya ketika ditemui ketika tinjauan harga barang bersama Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) dan Pemuda Umno Bahagian Alor Setar di Pasar Kampung Berjaya, di sini, hari ini.

Menurutnya, harga bawang paling mahal adalah bawang kecil Siam iaitu RM16 sekilogram berbanding RM10 sebelum ini namun ia tidak dijual buat masa ini disebabkan harga terlampau tinggi.

"Bukan hanya pengguna tetapi peniaga juga terkesan apabila harga naik namun kualiti tidak menentu, ada kalanya ada yang kurang elok dan terpaksa dibuang," katanya.

Seorang lagi peniaga, Lim Sheng Ho, 58, berkata, selain barangan basah seperti ayam dan sayur-sayuran, harga ikan bilis pelbagai gred juga naik lebih 10 peratus hingga meresahkan peniaga sepertinya.

Katanya, dia mendapat bekalan ikan bilis pada harga tinggi sekali gus tiada pilihan apabila terpaksa menjual ikan bilis antara RM6 hingga RM8 mengikut jenis untuk 100 gram (g) berbanding antara RM4 hingga RM7 bagi kuantiti sama.

"Sebagai contohnya, harga ikan bilis Gred A kini boleh mencecah RM75 hingga RM80 sekilogram berbanding hanya sekitar RM50 hingga RM60 sekilogram sebelum ini," katanya.

"Tidak dinafikan, ada pembeli merungut harga ikan bilis yang makin tinggi namun mereka akur selepas dijelaskan bahawa peniaga juga membeli dari pembekal pada harga tinggi.

Sheng Ho berkata, mereka ada menjual ikan bilis gred rendah yang lebih murah iaitu sekitar RM3 sekilogram namun ia biasanya tidak menjadi pilihan pengguna.

Sementara itu, Pengerusi Rukun Tetangga Kampung Berjaya, Datuk Abdul Kadir Mohamad berkata, kebanyakan pengguna buntu untuk membeli barangan disebabkan kenaikan harga itu.

"Sebelum ini, sekiranya dalam dompet ada RM20 masih boleh beli beberapa jenis barangan namun kini tidak tahu boleh beli apa sebab banyak barang naik seperti ikan kembung pun kini RM15 sekilogram ketika musim tengkujuh sekarang," katanya.

Beliau berharap kementerian berkaitan dapat memberi perhatian isu kenaikan harga memandangkan ramai rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) terjejas akibat pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: November 26, 2021 @ 4:10pm
d