mutakhir

Taman biofilia tarikan terbaru Klang

Oleh Ruwaida Md Zain

Klang: Bandar Diraja Klang bakal memiliki tarikan baru buat pencinta alam apabila taman paya bakau berkonsepkan biofilia akan dibuka tahun hadapan.

Taman paya bakau dikenali sebagai Mangrove Point dengan keluasan kira-kira 28.33 hektar (70 ekar) itu terletak berhampiran Royal Selangor Yacht Club di Pelabuhan Klang.

Mangrove Point cukup unik kerana ia adalah taman pertama di Malaysia direka berdasarkan konsep biofilia, yang memperlihatkan jalinan hubungan antara manusia dan alam semula jadi.

Malah pengunjung juga berpeluang memancing, bersiar-siar, berkhemah dan menaiki teksi sungai untuk ke taman apabila jeti siap dibina kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Izham Hashim, pendekatan biofilia untuk taman itu mendapat pengiktirafan Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) dalam kategori Analisis Landskap dan Anugerah Kajian pada April 2019.

Malah katanya, Mangrove Point adalah taman paya bakau pertama yang diuruskan secara teratur dengan pelbagai kemudahan awam dan kemudahan rekreasi.

"Orang ramai yang mencari lokasi menarik untuk dikunjungi pastinya akan teruja menikmati keindahan di Mangrove Point yang dijangka dibuka secara berfasa seawal tahun depan.

"Taman ini merangkumi keluasan kira-kira 70 ekar dan ketika ini sedang dinaik taraf di bawah projek Selangor Maritime Gateway (SMG) oleh kerajaan negeri menerusi Landasan Lumayan Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Perhutanan.

"Baru-baru ini saya meninjau perkembangan projek kelolaan SMG termasuk Mangrove Point di mana taman ini sudah siap lebih 80 peratus," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Izham berkata, Mangrove Point adalah salah satu projek pemangkin bagi tujuan pelancongan, pelaburan dan kebolehdiaman.

"Apabila ia dibuka kelak, pengunjung Mangrove Point boleh bersiar-siar di sepanjang 1 kilometer persisiran menuju ke Sungai Klang, dan di sepanjang laluan itu nanti pengunjung dapat menikmati keindahan alam semula jadi.

"Projek SMG ini adalah usaha bagi menghidupkan semula Sungai Klang termasuk membersihkan, memulihkan dan meremajakan kawasan di sepanjang ekosistem sungai bagi menjadikannya lebih menarik," katanya.

Beliau berkata, projek itu juga sebahagian daripada pelan induk kerajaan negeri bakal memperlihatkan kepelbagaian pendapatan dan memaksimumkan lokasi utama di Selangor.

Disiarkan pada: November 26, 2021 @ 4:32pm
d