mutakhir

93 permohonan bantuan khas kewangan kesan vaksin Covid-19

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Sebanyak 93 permohonan bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin Covid-19 diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu, lapan permohonan diluluskan oleh Jawatankuasa Induk KKM dan dalam proses pembayaran oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) membabitkan jumlah sebanyak RM132,500.

Menurutnya, sebanyak 78 permohonan masih dalam penilaian di mana daripada jumlah ini, 56 permohonan dalam penilaian Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin Covid-19 (JFK) manakala 22 permohonan dalam penilaian Jawatankuasa Teknikal Perubatan(JTP).

"Tujuh lagi permohonan ditolak kerana tidak dikategorikan sebagai kesan tindak balas vaksinasi (AEFI) serius.

"Sebagai makluman, Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 ini akan dipertimbangkan berdasarkan kriteria yang perlu dipenuhi iaitu AEFI yang berlaku dalam tempoh tiga bulan daripada menerima vaksin; dikategorikan sebagai serius berdasarkan laporan penilaian JFK dan Laporan AEFI hendaklah dihantar kepada Bahagian RegulatoriFarmasi Negara (NPRA) oleh anggota kesihatan yang merawat pesakit," katanya pada sidang media Covid-19, di sini, hari ini.

Khairy berkata, nilai bantuan kepada individu yang terkesan oleh AEFI ditentukan berdasarkan perakuan oleh JTP dan diputuskan oleh Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19.

"Nilai Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 yang ditetapkan adalah tidak melebihi RM50,000 jika berlaku kesan advers yang serius kepada penerima vaksin Covid-19 yang memerlukan rawatan berpanjangan di hospital.

"Tidak melebihi RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan vaksin Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2021 @ 8:16pm
d