mutakhir

Dua anggota polis tidak mengaku terima rasuah [METROTV]

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap tiga pertuduhan rasuah termasuk menerima suapan sejumlah RM4,500 pada Mac 2020.

Lans Koperal Farid Rosni, 35, dan Konstabel Clinton Kudang Gangga, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa mencapai niat bersama meminta suapan iaitu wang tunai RM10,000 daripada Muhammad Amirul Hafiz Azmi, 23, sebagai suatu dorongan untuk melepaskan dia dan rakannya yang ditahan kerana memiliki air ketum pada 6.30 petang, 10 Mac 2020 di Kampung Melayu, Pandan, di sini.

Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mencapai niat bersama secara rasuah setuju menerima suapan iaitu RM4,500 daripada Amirul Hafiz pada 9.45 malam, 10 Mac 2020 di lokasi sama.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa mencapai niat bersama memperoleh suapan iaitu wang tunai RM4,500 daripada Rafsanjani Rosli, 33, pada 10 malam, 10 Mac di lokasi sama.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hakim membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 28 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan penyerahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwaan SPRM, Nur Mahirah Mohd Pauzi manakala tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien dan Muhammad Faizuddin Abd Ra'fik.

Disiarkan pada: November 29, 2021 @ 11:37am
d