mutakhir

Suami isteri melecur cuba padam kebakaran, rumah baru sebulan dibina

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Pasangan suami isteri melecur 30 peratus di badan selepas rumah mereka yang baru diduduki sebulan lalu di Kampung Kuala Pah, di sini, terbakar, pada 8.30 malam ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jelebu Mohd Fazzil Mohd Yunus berkata, kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 27 tahun dipercayai melecur selepas cuba memadam kebakaran.

"Seramai enam anggota dari BBP Jelebu dan tujuh anggota dari BBP Simpang Pertang dikerah ke lokasi untuk memadamkan kebakaran berkenaan.

"Kami mengepam air sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah itu untuk pemadaman dan api padam sepenuhnya pada 9.10 malam.

"Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, adik ipar kepada seorang mangsa berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Mohd Fazzil berkata, rumah yang terbakar musnah 90 peratus, manakala pasangan suami isteri yang melecur dihantar ke Hospital Jelebu oleh penduduk kampung untuk mendapatkan rawatan.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2021 @ 11:36pm
d