mutakhir

Berdosa, berdosa, berdosa...

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Mana-mana yang kecam aku tu, berdosa, berdosa, berdosa," demikian kata-kata seorang lelaki dipercayai peminat Johor Darul Ta'zim (JDT).

Video berdurasi 11 saat itu dimuat naik di TikTok milik lelaki berkenaan sebelum dipadam tetapi sempat ditangkap layar netizen.

Harian Metro cuba menghubungi lelaki berkenaan menerusi nombor tertera di akaun TikTok miliknya namun kiriman WhatsApp tiada balasan dan panggilan telefon tidak dijawab.

Semakan mendapati akaun miliknya juga sudah dinyahaktif.

Bagaimanapun, lelaki terbabit ada memuat naik satu video sedang menyuap makanan ke mulut seorang kanak-kanak lelaki pagi tadi dengan latar belakang lagu sedih.

Perkongsian videonya itu terus mendapat kecaman malah netizen tidak melepaskan peluang untuk meninggalkan komen sindiran selain menuntut lelaki berkenaan menunaikan janjinya.

Ia berikutan kenyataan berani lelaki itu yang menyatakan dia sanggup berbogel dari Kuala Lumpur hingga ke Johor seandainya Kuala Lumpur City FC menewaskan JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, malam kelmarin.

Video berdurasi 33 saat dimuat naik di laman sosial Tiktok sebelum JDT tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC.

Disiarkan pada: December 2, 2021 @ 12:14am
d