mutakhir

25 kenderaan dipandu dan ditunggang warga asing disita [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Ampang Jaya: Sebanyak 25 kenderaan dipandu dan ditunggang warga asing disita dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) di sekitar daerah ini, hari ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, operasi dijalankan susulan maklum balas dan maklumat diberikan oleh orang awam.

"Ia bagi mengesan kesalahan pemandu dan kenderaan terutama warga asing yang tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan.

"Sebanyak 144 notis saman dikeluarkan dan diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Zaki berkata, operasi berkenaan turut menyita 25 kenderaan termasuk lima lori milik syarikat kontraktor pembersihan yang dipandu warga asing.

"Pelbagai kesalahan dikesan dilakukan warga asing antaranya tidak lesen memandu kompeten (CDL), tidak mempunyai lesen vokasional (PSV/GDL), insurans kenderaan tamat tempoh, kesalahan teknikal dan lain-lain kesalahan.

"Seramai 29 pemandu warga asing terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan dan Indonesia turut ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Menurutnya, pemilik kenderaan dinasihatkan tidak membenarkan kenderaan persendirian digunakan oleh warga asing.

"Tindakan juga boleh diambil terhadap pemilik kenderaan, bagi kenderaan yang disita pemilik kenderaan sendiri perlu hadir ke JPJ.

"Tindakan penguatkuasaan berterusan akan terus dijalankan bagi mengenal pasti pengguna jalan raya yang gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan," katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2021 @ 3:02pm
d