mutakhir

Nak melaram kereta baharu, pengawal keselamatan rugi RM12,240

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Hasrat seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah untuk memiliki dua kereta idaman tidak kesampaian apabila menjadi mangsa penipuan sehingga kerugian RM12,240.

Mangsa berusia 46 tahun membeli dua kereta terpakai selepas melihat iklan di Facebook (FB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku pada 14 Ogos lalu ketika mangsa melayari FB di tempat kerja.

"Mangsa terlihat iklan jual beli kereta terpakai di FB Auto Export Sg Scrap Car dan berurusan melalui Whatsapp dengan pihak berkenaan," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa bersetuju untuk membeli secara ansuran kereta Toyota Harrier 2.0 Premium Sunroof Black 2015 dengan harga RM24,000 dan Honda Civic dengan harga RM17,000.

"Mangsa membuat 10 kali pembayaran bagi tujuan deposit pinjaman, insurans, duti kastam, cukai jalan dan proses pertukaran nama untuk dua kereta terbabit berjumlah RM12,240.

"Semua pembayaran dibuat ke lima akaun berbeza diberikan suspek dan mangsa mula menyedari ditipu apabila suspek terus meminta wang daripadanya tetapi kereta yang dibeli tidak juga diperoleh," katanya.

Katanya, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, semalam dan kes berkenaan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: December 3, 2021 @ 12:49pm
d