mutakhir

'Kakak berbau masam', gurauan terakhir arwah dengan anak sulungnya [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Pemandu lori sayur, Muhamad Hafiz Hamdi, 31, yang maut akibat ditimbus tanah runtuh di Seksyen 27, KM39 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di Cameron Highlands, semalam menyatakan hasrat kepada isterinya untuk berhenti kerja kerana mengadu sakit badan selain penat.

Isteri Allahyarham, Nor Shahida Saidin, 31, berkata hampir setiap hari arwah suaminya perlu berulang-alik dari kediaman mereka di Tanjung Piandang, Perak ke Cameron Highlands untuk mengambil sayur yang mana ia tidak termasuk jarak untuk ke lokasi penghantaran.

"Bila kami berbincang baru-baru ini, arwah menyatakan keinginan berhenti kerja kerana mengadu sakit-sakit pada badan sejak dua tiga hari lalu. Dia juga ada kata nak bawa lori treler selepas berhenti kelak.

"Katanya kalau bawa treler, dia hanya akan berpeluang balik rumah selang seminggu justeru terpaksa meninggalkan saya dan anak-anak di rumah.

"Saya beritahu akan ikut keputusan mana dia rasa okay," katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, hari ini.

Katanya lagi, arwah suaminya itu sempat meluahkan hasrat untuk menaja sebahagian daripada persediaan kahwin adiknya yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini.

Ditanya adakah suaminya berkelakuan pelik sebelum kejadian, katanya, arwah hanya bersikap biasa.

"Tiada yang pelik. Cuma sewaktu kali terakhir kami berjumpa iaitu pada waktu Subuh semalam (Khamis), dia sempat cium saya dan anak-anak sambil mengusik anak sulung dengan mengatakan 'kakak berbau masam'.

"Terlalu sebak rasanya sampaikan tak mampu saya kongsikan mengenai kenangan terakhir saya bersama arwah. Hinggakan malam tadi saya tak boleh tidur kerana terkenang," katanya.

Nor Shahida berkata berkata, dia dimaklumkan kejadian buruk menimpa arwah oleh rakan sekerja suaminya yang datang ke kediaman mereka.

"Mula-mula memang ada tengok dalam kumpulan WhatsApp keluarga menceritakan kes tanah runtuh itu namun tak sangka suami saya.

"Saya ingatkan dia sibuk bekerja. Selalunya kalau ada apa-apa kejadian, dia (arwah) akan kongsi dalam kumpulan WhatsApp itu," katanya.

Selain balu, Muhamad Hafiz turut meninggalkan sepasang cahaya mata iaitu Nurhannan Fitrysha, 2, dan bayi lelaki, Muhammad Hafiy Fahri yang baru berusia tujuh bulan.

Nor Shahida berkata, jenazah suaminya bakal disemadikan di Perkuburan Islam Parit Tanjung Piandang, di Parit Buntar, petang ini.

Semalam, media melaporkan Muhamad Hafiz adalah seorang daripada dua lelaki yang dilaporkan maut selepas kenderaan dipandu mereka masing-masing dihempap tanah runtuh.

Berita berkaitan

Dua kenderaan terperangkap tanah runtuh [METROTV]

Kenderaan tertimbus tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands

Ada lagi kenderaan tertimbus selain lori, Toyota Vellfire

Kenderaan tertimbus: Pemandu lori, kenderaan MPV disahkan maut

Kenderaan tertimbus: Pemandu lori, kenderaan MPV disahkan maut

Mayat pemandu MPV dihantar ke Jabatan Forensik HRPB

'Saya tahu, ada sesuatu yang berlaku kepada adik saya'

Disiarkan pada: December 3, 2021 @ 2:21pm
d