mutakhir

7,000 peluang pekerjaan di Karnival Kerjaya MYFutureJobs

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Lebih 7,000 peluang pekerjaan ditawarkan sempena Karnival Kerjaya MYFutureJobs Keluarga Malaysia anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang diadakan hari ini.

Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Datuk Mohd Sahar Darusman berkata, selaras dengan Bajet 2022 untuk membantu ekonomi bangkit semula, karnival pekerjaan itu membantu golongan rentan bandar mendapatkan peluang pekerjaan supaya masalah pengangguran dapat ditangani segera.

Beliau berkata, karnival berkenaan diadakan secara serentak di empat negeri iaitu Paya Besar, Pahang; Setiawangsa, Kuala Lumpur, Jitra, Kedah dan Beaufort, Sabah.

Katanya, sebanyak 21 majikan dari pelbagai industri yang menawarkan peluang pekerjaan baharu menyertai karnival dengan sesi temuduga diadakan secara bersemuka.

"Sebanyak 3,122 jawatan paling tinggi ditawarkan daripada sektor perkilangan diikuti oleh sektor perkhidmatan dengan kekosongan jawatan 969, sektor peruncitan (772) dan perkhidmatan (801).

"Peluang ini meliputi 86 jawatan eksekutif, 129 pengurus, 6,311 bukan eksekutif dan 709 graduan selain 758 jawatan kosong disediakan untuk orang kurang upaya (OKU)," katanya ketika ditemui Harian Metro selepas melawat Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Pusat Komuniti Setiawangsa di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kuala Lumpur Mustafa Draman.

Selain itu, Mohd Sahar berkata, Perkeso meneruskan insentif SIP Prihatin 2.0 kepada graduan dan individu bukan pencarum Perkeso yang menghadiri temuduga terbuka itu.

Menurutnya, insentif sebanyak RM300 sebulan akan diberikan kepada individu yang berjaya menghadiri sekurang-kurangnya tiga sesi temuduga dalam tempoh 30 hari untuk dua bulan.

"Sekiranya pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh menerima insentif, sebanyak RM400 secara one-off akan diberikan sebagai Elaun Persediaan Bekerja (EPB).

"Selain itu bantuan mobiliti sehingga RM1,000 turut disediakan buat individu yang berjaya mendapat pekerjaan dan memenuhi kelayakan di bawah program Penjana Kerjaya 3.0," katanya.

Beliau berharap majikan dan pencari kerja supaya menggunakan sepenuhnya insentif disediakan kerajaan menerusi pelbagai pekej pemulihan dan ransangan ekonomi seperti Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) serta Perlindungan Ekonomi Rakyat Malaysia (Permai).

Disiarkan pada: December 4, 2021 @ 5:03pm
d