mutakhir

10 keluarga terjejas, rumah dilanda air pasang besar [METROTV]

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Beberapa rumah di atas air di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, rosak akibat air pasang besar, malam tadi.

Seorang penghuni dikenali sebagai Jeffry, 40, berkata, kejadian ini bermula kira-kira 8 malam apabila jambatan yang menghubungkan rumahnya di bahagian hujung mula dinaiki air laut.

Katanya, sejam selepas itu air mula memasuki rumahnya hingga memaksa dia mengarahkan ahli keluarganya berpindah ke surau berdekatan.

"Ketika air laut mula menenggelami jambatan, saya terus mengarahkan isteri dan anak ke surau untuk berlindung kerana bimbang air akan masuk ke rumah.

"Tidak lama selepas itu, air mula menenggelami lantai rumah. Saya kemudian menyelamatkan harta benda sebelum keluar dari rumah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.

Katanya, kejadian fenomena air pasang besar ini setiap tahun berlaku dan menyebabkan rumah rosak terutama di bahagian dapur.

Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Nizam, 41, berkata, ketika kejadian dia baru saja tiba dan melihat keadaan lantai rumahnya mula dinaiki air.

"Alunan air laut menyebabkan lantai perlahan-lahan tercabut dan dinding rumah turut rosak. Saya kemudian mengarahkan isteri dan dua anak keluar untuk menumpang di rumah saudara.

"Saya tinggal di sini sudah lama dan memang setiap tahun air pasang besar ini berlaku tetapi tidaklah sampai masuk ke dalam rumah," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Tanjung Aru Baru, Awang Damit Awang Jahir berkata, 10 keluarga terjejas selepas rumah dinaiki air dipindahkan ke surau dan balai raya dan ada rumah yang rosak.

"Tujuh rumah terkesan dengan kejadian fenomena air pasang besar di kampung ini. Penghuni membabitkan 10 keluarga dipindahkan sementara menunggu air surut.

"Kejadian air pasang besar bermula kira-kira 8 malam hingga 10 malam. Selepas itu air mula surut. Namun saya mengingatkan penduduk di sini supaya sentiasa waspada kerana kejadian air pasang besar akan berlaku lagi," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan di laman web, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) berkata, paras air pasang laut malam tadi, merekodkan ketinggian 1.91 meter dan dijangka meningkat kepada paras 2.01 meter menjelang lewat malam ini.

Sementara itu, Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Kinabalu, dilihat sedang giat menjalankan operasi pemantauan terutamanya di lokasi berisiko antaranya Pantai Tanjung Aru berhampiran menara kawalan JPAM dan kawasan perkampungan sekitar.

Disiarkan pada: December 5, 2021 @ 11:31am
d