mutakhir

Mangsa banjir di Sarawak meningkat

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di sini, meningkat kepada 122 orang setakat pagi hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, mangsa daripada 35 keluarga yang tinggal di Kampung Buntal dan Kampung Sungai Batu, Santubong.

Katanya, PPS Dewan Sri Buntal menempatkan 95 orang (28 keluarga) dan PPS Surau Ar Rahman mempunyai 27 mangsa (tujuh keluarga).

"Semalam seramai 81 mangsa ditempatkan di dua PPS terbabit, namun jumlahnya bertambah tengah malam tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hujan lebat disusuli fenomena air pasang besar sejak kelmarin menyebabkan kediaman penduduk berdekatan pantai dinaiki air.

JPBN akan terus melakukan pemantauan berterusan sebelum membenarkan penduduk pulang ke kediaman masing-masing.

Disiarkan pada: December 7, 2021 @ 9:58am
d