mutakhir

RM306.83 juta diperuntukkan dalam Bajet 2022 [METROTV]

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Kerajaan Perlis memberi penekanan kepada tiga aspek utama untuk memberi faedah kepada rakyat negeri itu dalam menikmati Bajet 2022.

Menteri Besarnya Datuk Seri Azlan Man berkata, perkara yang diberi perhatian khusus adalah pemulihan ekonomi rakyat, peningkatan kemakmuran dan kesejahteraan hidup dan pengukuhan ekonomi negeri yang mampan.

"Seiring dengan tema 'Kesalingan Pimpinan-Rakyat, Pemangkin Kelangsungan Kemakmuran dan Kesejahteraan', Bajet 2022 secara keseluruhannya memperuntukkan sejumlah RM306.83 juta bagi tujuan perbelanjaan pada tahun hadapan.

"Berlaku penyusutan sebanyak 2.68 peratus berbanding peruntukan tahun 2021 dan daripada jumlah itu, sebanyak RM176.58 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, manakala 130.25 juta ringgit lagi untuk Perbelanjaan Pembangunan," katanya.

Beliau berkata demikain ketika membentangkan Enakmen Perbekalan Tahun 2022 semasa Mesyuarat Kedua, Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis ke-14 di Kompleks Dun Perlis, di sini, hari ini.

Katanya, pada masa sama Bajet 2022 adalah bajet defisit dengan jumlah sebanyak RM67.34 juta ataupun penurunan sebanyak 0.25 peratus berbanding tahun ini.

"Menerusi fokus pemulihan ekonomi, pandemik Covid-19 ternyata memberi kesan yang besar dalam kehidupan sosial dan ekonomi rakyat.

"Berdasarkan data e-Kasih yang dikeluarkan oleh Unit Penyelarasan dan Pembangunan Persekutuan (ICU) menunjukkan sebanyak 7,661 ketua isi rumah (KIR) di negeri ini dikategorikan di bawah miskin tegar sehingga 29 November 2021.

"Selain itu, sebanyak 5,843 KIR menjadi miskin akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Disebabkan itu, kerajaan akan memperkenalkan pertanian untuk kehidupan (Kebuna) bagi menggalakkan penduduk menanam dan mengeluarkan sendiri keperluan bahan makanan harian," katanya.

Katanya, projek Kebuna dijangka memberi faedah kepada 1,500 peserta, manakala projek tanaman hidroponik pula terbuka kepada 210 peserta khasnya kepada golongan B40.

"Mereka yang berada dalam projek Kebuna ini akan diberi bantuan pakej input dan peralatan pertanian berjumlah RM817,000. Selain itu, sebanyak RM658,000 diperuntukkan bagi mereka yang menjalankan projek pertanian hidroponik.

"Pertanian hidroponik ini memberi keutamaan kepada golongan belia yang berumur 18 hingga 25 tahun dan golongan asnaf," katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2021 @ 6:24pm
d