mutakhir

Pas harap agenda MN bersama Umno diteruskan [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Pas masih menaruh harapan agenda Muafakat Nasional (MN) bersama Umno masih boleh diteruskan demi perpaduan ummah.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu bersedia untuk terus melakukan rundingan bersama pemimpin Umno.

Beliau berkata, perbezaan pendapat ketika ini boleh diselesaikan sekiranya semua pihak duduk semeja dan berunding.

"Kami beranggapan di pihak Pas, kami masih berlapang dada untuk mengadakan hubungan itu dan kami minta kepada rakyat untuk memujuk rakan daripada Umno.

"(Untuk menyelesaikan isu ini), kita perlu sama-sama duduk berbincang dan berunding (kerana) ia adalah pilihan terbaik daripada kita bergaduh," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jambatan Pulau Kekabu, di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, semua pihak perlu melihat agenda lebih besar dan tidak tertumpu kepada parti sahaja.

"Kita faham tidak dapat dipaksa, tapi saya minta pada semua pihak terutama rakan Umno untuk melihat agenda lebih besar," katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan parti itu mungkir janji terhadap piagam dipersetujui menerusi MN hanya kerana menolak penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gagasan itu.

Mohamad menjelaskan, MN tidak ditubuhkan dengan matlamat Bersatu mesti menjadi sebahagian daripadanya, sebaliknya MN diasaskan untuk menentang Pakatan Harapan (PH).

Kenyataan Mohamad itu hadir selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Umno melanggar janji dalam MN selepas menolak penyertaan Bersatu ke dalam MN.

Disiarkan pada: December 7, 2021 @ 6:50pm
d