mutakhir

27 pelajar IPG Kampus Kent Baru dijangkiti Covid-19

Oleh Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Seramai 27 pelajar wanita Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent Baru dijangkiti Covid-19 sehingga mencetuskan Kluster Jalan Tuaran Bakut.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster dalam kategori institusi pendidikan itu dikenal pasti di Tuaran.

"Kes indeks ialah pelajar wanita warga tempatan berusia 20 tahun yang dikesan positif Covid-19 melalui ujian PCR pada 27 November lalu dalam saringan bergejala.

"Saringan kontak rapat dan saringan bergejala ke atas 134 orang mendapati 26 kes positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 27 kes.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan. Walau bagaimanapun penularan jangkitan disyaki berpunca daripada aktiviti pergaulan pelajar di asrama.

"Semua pesakit diasingkan dan diberikan rawatan yang sesuai," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 hari ini kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 322 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 236,046 kes.

"Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 321 menjadikan jumlah kumulatif 226,330 orang.

"Manakala 1,195 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 580 orang di hospital, 605 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, lapan orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan dua orang di fasiliti swasta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 8, 2021 @ 7:58pm
    d