mutakhir

Johan Qariah termuda dilantik ikon YADIM

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: "Saya akan meneruskan usaha berkongsi ilmu taranum dan bacaan al-Quran di media sosial berikutan semakin ramai golongan muda yang meminatinya," ujar Ikon Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) 2021-2022, Nor Farhatul Fairuzah Panut.

Dia yang dilantik sebagai ikon YADIM paling muda menganggap perlantikannya itu sebagai tanggungjawab besar untuk berdakwah kepada golongan muda.

Nor Farhatul berkata, dia akan berusaha menarik minat golongan muda mencintai al-Quran melalui media sosial berikutan kebanyakan golongan muda gemar dan aktif dalam media sosial seperti Instagram, Facebook dan YouTube.

Katanya, ia menjadi salah satu medium untuknya menyebarkan dakwah dalam kalangan orang muda berhubung keindahan al-Quran dan bacaan yang betul.

Pada 2019, remaja perempuan ini mengejutkan negara dan dunia apabila dinobatkan sebagai johan qariah dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Kemenangan Nor Farhatul Faizurah itu membuka mata banyak pihak di dalam mahupun di luar negara bahawa usia bukan penghalang untuk seseorang mengecapi kejayaan.

Nor Farhatul yang juga pelajar Tahun Dua, Pendidikan al-Quran dan Al-Sunnah,Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, dia akan membahagikan masa dengan jadual sistematik selepas dilantik sebagai Ikon Dakwah YADIM.

Dia berkata, sebagai seorang pelajar, dia juga perlu memberi tumpuan kepada pelajaran disamping tugas pengacara sambilan di sebuah stesen televisyen.

Katanya, misi sebagai pendakwah muda bukan sesuatu yang mudah dan berikrar memberi sumbangan terbaik kepada golongan muda dan masyarakat luar.

Selain menguasai al-Quran, anak bongsu dari lima beradik kelahiran Sungai Pelek,Sepang ini

mempunyai kebolehan luar biasa menguasai ketujuh-tujuh bacaan taranum.

Watikah pelantikan Ikon Dakwah YADIM 2021-2022 disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),Idris Ahmad di sini, tadi.

Pada majlis itu seramai lapan penerima dilantik termasuk pakar motivasi, Datuk Dr Fadzilah Kamsah, Datuk Dr Abdul Basit Abdul Rahman, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, Ustaz Mohd Norhisyam Tuan Padang, Wan Hilmy Wan Mohamed, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani dan Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub.

Disiarkan pada: December 8, 2021 @ 8:42pm
d