mutakhir

MVIA gesa kerajaan kaji semula kadar cukai cecair vape

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kerajaan digesa mengkaji semula kadar baharu cukai cecair vape yang akan berkuatkuasa bermula Januari tahun depan.

Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria berkata, selain itu perlu diwujudkan satu undang-undang khas yang berbeza daripada rokok tembakau bagi mengawal selia industri ini.

Katanya, pemain industri berkenaan menyokong usaha kerajaan mengawal selia industri vape termasuk langkah mencukaikan cecair vape bernikotin dan ia adalah perkara yang diperjuangkan industri sejak beberapa tahun ini.

"Pihak industri sudah lama memperjuangkan satu undang-undang kawal selia serta sistem pencukaian yang konklusif bagi produk vape bernikotin.

"Bagaimanapun, kadar RM1.20 yang ditetapkan untuk setiap millimeter (ml) cecair vape adalah terlalu tinggi.

"Kadar ini akan membebankan pengilang terutamanya dan memberikan kesan yang negatif kepada industri," katanya.

Beliau berkata, di kebanyakan negara, cukai ke atas cecair vape adalah rendah, contohnya di negara-negara Eropah kadar cukai yang dikenakan hanya antara 0.10 hingga 0.20 Euro setiap ml.

Katanya, malah negara seperti United Kingdom (UK) dan New Zealand tidak mengenakan cukai ke atas produk ini kerana ia diiktiraf sebagai produk yang boleh membantu perokok berhenti merokok.

"Kerana itu, kami memohon supaya kerajaan mengkaji semula kadar itu supaya perniagaan pengilang-pengilang tempatan tidak menerima impak negatif yang ketara," katanya.

Menurutnya, dengan kadar cukai baharu itu, setiap 30 ml botol cecair akan dikenakan cukai sebanyak RM36 dan ia bersamaan dengan harga runcit semasa setiap 30 ml botol cecair vape.

"Sudah tentu pengguna akan terbeban dengan harga baharu yang akan naik dan akan mencari alternatif yang lebih murah. Ini akan membuka peluang kepada aktiviti jualan produk yang tidak berbayar cukai," katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2021 @ 4:09pm
d