mutakhir

Dakwaan derma Arab melebihi Hikayat 1001 Malam

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mendapati pembelaan Datuk Seri Najib Razak berhubung sumbangan derma negara Arab, melebihi kisah Hikayat 1001 Malam.

Panel yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, mendapati dakwaan itu bukan sahaja tidak mempunyai kredibiliti dan bercanggah, malah turut disanggah oleh bukti dokumen.

Panel itu dalam penghakiman penuhnya berkata, ia bersetuju dengan dapatan hakim mahkamah tinggi bahawa pembelaan derma negara arab itu hanyalah 'kisah' yang langsung tidak mempunyai kredibiliti.

"Tiada bukti sama sekali bahawa RM42 juta itu datangnya, atau mungkin daripada Raja Arab Saudi, dan tiada sebarang asas munasabah untuk perayu membentuk kepercayaan itu. Dana itu datang daripada SRC International Sdn Bhd dan ia sudah dibuktikan.

"Dalam hal ini, adalah wajar untuk diambil perhatian bahawa walaupun selepas dua kenyataan akhbar, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat sumber dana yang dikatakan dari Arab Saudi dan bagi memastikan sama ada RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun perayu adalah derma.

"Pegawai SPRM pergi ke Arab Saudi untuk menyiasat perkara itu tetapi gagal mendapat sebarang pengesahan daripada penderma Arab yang dikatakan sebagai bukti yang boleh diterima di mahkamah," katanya.

Panel itu berkata, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam keterangan di Mahkamah Tinggi, menyatakan ketika memegang jawatan peguam negara, beliau membebaskan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan SRC berdasarkan kesimpulan siasatan bahawa perayu didapati tidak mengetahui sebarang kesalahan yang dilakukan.

Katanya, Mohamed Apandi seterusnya memberi keterangan bahawa pada Januari 2016, beliau mengarahkan SPRM menutup siasatan terhadap Najib kerana berpuas hati bahawa tiada bukti perayu menyalahgunakan kedudukannya untuk meluluskan jaminan kerajaan bagi pinjaman SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (Dipebadankan).

Kata panel itu lagi, bagaimanapun ketika disoal balas, Mohamed Apandi bersetuju keputusannya berdasarkan bahan dalam kertas siasatan setakat 26 Januari 2016 dan bersetuju beliau tidak mengetahui selepas itu bahawa terdapat 76 kenyataan baharu dan beberapa kenyataan lagi direkodkan daripada saksi berkaitan siasatan.

Menurut panel, hakim perbicaraan menimbangkan keterangan Mohamed Apandi dan menyimpulkan ia tidak menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan kerana terdapat siasatan lanjut selepas Januari 2016.

"Kesimpulan dan arahan Mohamed Apandi pada Januari 2016 adalah berdasarkan siasatan yang dijalankan sehingga itu dan mahkamah mengesahkan dua carta aliran yang dipegangnya ketika sidang akhbar pada 26 Januari 2016 untuk membebaskan perayu adalah carta aliran sama yang dikemukakan pihak pendakwaan.

"Carta aliran itu jelas menunjukkan dana SRC memasuki akaun bank perayu, dan ia bukan derma Arab seperti yang dipertikaikan…dalam apa jua keadaan pendapat dan keputusan Peguam Negara tidak mengikat penggantinya," katanya.

Panel berkata, Peguam Negara semasa bebas untuk membuat keputusan dan menggunakan kuasa perlembagaan dan perundangan mengikut undang-undang dengan menggunakan budi bicara untuk mendakwa walaupun Peguam Negara sebelum itu memilih untuk tidak berbuat demikian.

Disiarkan pada: December 9, 2021 @ 7:50pm
d