mutakhir

Jemaah dapat solat lebih selesa

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Pembinaan Masjid Bukit Bandaraya Shah Alam di Seksyen U11 di sini yang dijangka siap sepenuhnya sekitar tahun 2024 disifatkan tepat pada masanya berikutan pertambahan jemaah tahun demi tahun sejak kira-kira 17 tahun lalu.

Pembinaan masjid yang bakal memuatkan kira-kira 3,000 jemaah itu bukan sahaja memberikan manfaat kepada penduduk di Bukit Bandaraya, malah penduduk Orang Asli, kakitangan Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA), penduduk Seksyen 8, pelajar institusi pengajian tinggi juga sekolah antarabangsa berhampiran serta pekerja binaan sekitar kawasan yang sedang membangun itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penaja Pembinaan masjid berkenaan, Basri Abu Bakar, masjid itu amat diperlukan oleh penduduk setempat memandang surau digunakan ahli kariah sekarang bersifat sementara.

"Kawasan ini dibangunkan sekitar 2004, ketika itu penduduk mengubah suai sebuah rumah teres lot tepi sebagai surau untuk kegunaan penduduk bagi solat berjemaah juga aktiviti keagamaan di situ.

"Selepas kira-kira lima tahun, penduduk sepakat melantik kontraktor membina Surau At Taqwa Bukit Bandaraya di dalam kawasan Sekolah Agama Bukit Bandaraya memandangkan populasi komuniti penduduk di situ meningkat.

"Bagaimanapun, suatu hari nanti apabila pelajar sekolah agama meningkat surau ini akan diserahkan kembali kepada sekolah untuk kegunaan pelajar sebab itu kami amat memerlukan masjid sendiri," katanya yang ditemui ketika mengadakan lawatan tapak masjid berkenaan di kawasan itu, baru-baru ini.

Basri berkata, surau dengan Kebenaran Solat Jumaat itu dapat menampung kira-kira 1,000 jemaah dalam satu-satu masa namun jumlah itu 'melimpah' hingga pekarangan surau disebabkan pertambahan penduduk.

Katanya, surau berkenaan sudah dua kali menjalankan proses penambahbaikan serta pembesaran bagi menampung pertambahan jemaah.

"Memandangkan surau ini hanya dapat menampung 1,000 jemaah sahaja, penduduk di sini terpaksa ke Masjid Negeri, Masjid Seksyen 7 juga Masjid Jamek Raja Tun Uda di Seksyen 16 untuk solat Jumaat di mana jarak dari sini kira-kira lapan hingga 10 kilometer.

"Tetapi seperti Masjid Seksyen 7, di situ agak sesak sebab seperti umum sedia maklum kepadatan penduduk tinggi di kawasan berkenaan.

"Satu perkara lagi, setiap hari Jumaat tanpa jemu kita akan melihat pekerja binaan beragama Islam akan cuba nasib, berjalan serta menunggu sekiranya ada penduduk berkereta sudi menumpangkan mereka untuk ke masjid itu, jika tiada mereka akan pulang semula ke rumah," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pembinaan masjid berkenaan diperlukan oleh ahli kariah dan tepat pada masanya apabila melihat perkembangan pembangunan dan pertambahan penduduk di sini.

"Bukit Bandaraya mempunyai keluasan kira-kira 121 hektar (300 ekar) dengan kapasiti 5,000 unit rumah yang dianggarkan di mana jumlah penduduk dianggarkan akan mencapai 20,000 sekiranya keseluruhan kawasan perumahan siap tidak lama lagi.

"Banyak kesenangan dan manfaat sekiranya Bukit Bandaraya ada masjid sendiri berbanding terpaksa ke masjid lain, tambahan pula semakin ramai warga emas di sini jadi jika ada masjid dekat itu lebih baik.

"Jadi, kami berharap masjid berkeluasan 1.21 hektar (3 ekar) dengan konsep seni bina Morocco dapat dibina secepat mungkin. Jangkaan kami siap sepenuhnya 2024, tetapi jika awal adalah lebih baik," katanya.

Justeru, katanya, beliau mengharapkan orang ramai dapat membantu pembinaan masjid berkenaan dengan memberikan sumbangan berbentuk kewangan.

"Jumlah keseluruhan kos pembinaan masjid berkenaan adalah RM16 juta di mana setakat ini, kira-kira RM250,000 kutipan sejak jawatankuasa ditubuhkan pada 2020.

"Buat masa ini, kita bergantung kepada sumbangan ahli kariah sahaja sebab promosi baru bermula apabila kita mendapat kelulusan pembinaan masjid ini daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada Februari lalu.

"Kebenaran Jais ini memberi sinar kepada kami, bagi kami apabila dapat kebenaran ini malah ia adalah pencapaian yang menggembirakan.

"Pada Oktober lalu, kita mendapat surat kebenaran dari Perbadanan Waqaf Selangor di mana semua penyumbang kita boleh rujuk perbadanan ini mengenai pembinaan masjid kami, penyumbang juga akan mendapat potongan cukai," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Surau At Taqwa Bukit Bandaraya berkata, pihaknya mewujudkan Facebook rasmi bagi pembinaan masjid berkenaan sejak 2020 bagi memudahkan penyumbang mendapatkan maklumat sebelum menyumbang.

"Marilah kita sama-sama menyumbang untuk pembinaan masjid ini. Semoga dengan usaha ini, Allah akan menyediakan sebuah mahligai kepada penderma di Syurga nanti, Insya Allah," katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2021 @ 7:30am
d