mutakhir

Kepung, tumbuk perut pelajar

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Klip video menunjukkan pelajar menjadi mangsa buli rakan-rakannya tular di media sosial sehingga mendapat kecaman warganet yang meluahkan kekesalan dengan kejadian itu.

Menerusi beberapa klip video yang tular itu, dilihat pelajar mengepung mangsa dan menumbuk perut pelajar lelaki itu sambil tertawa sesama mereka.

Difahamkan kejadian itu berlaku di sekolah berasrama di Perak.

Pengguna Twitter, Ekax_ yang memuat naik video itu juga menyelar perbuatan pelajar itu yang tidak mengambil iktibar akan kejadian yang pernah menggempar negara sebelum ini dan meluahkan perasaan sakit hatinya melihat mangsa.

Sementara Ekax_ ketika dihubungi berkata, video yang dimuat naiknya itu diperoleh dari Facebook (FB) di mana maklumat setakat ini difahamkan kejadian itu berlaku di sebuah sekolah berasrama di Perak.

"Mangsa bukan ahli keluarga saya cumanya saya mendapat video asal itu dari FB.

"Selepas video itu tular, memang ada pihak yang menghubungi saya meminta memadamkan semula video itu namun saya tidak akan memadamkannya," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, warganet lain turut senada dengan Ekax_ apabila masing-masing meluahkan perasaan kecewa dan meminta maklumat sekolah bagi memudahkan mereka melakukan laporan polis untuk tindakan.

"Cukup-cukuplah bagi muka dekat pembuli ni. Banyak sangat dah kes macam ni. Masukkan dalam penjara. Biar gelap terus masa depan. Kalau mangsa dah mati mula lah cakap membunuh tanpa niat lah, laptop hilang lah. Geramnya tengok," ciap jllmisai.

"Apalah keji sangat perangai, ingat hebat ke buat anak orang macam tu. Ni nak kira salah mak bapak tak reti mendidik ke apa? Betul la makin nak kiamat makin ramai orang jahat. Semoga semua pelaku dapat balasan yang setimpal," ciap syafiyy.

Disiarkan pada: December 10, 2021 @ 11:45am
d