mutakhir

Khatan beramai-ramai perlu diteruskan

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Program berkhatan secara beramai-ramai setiap kali musim cuti persekolahan perlu terus diadakan bagi menjimatkan perbelanjaan penjaga.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Hamdan Hussin berkata, usaha menganjurkan program berkenaan perlu dilakukan pelbagai pihak dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta.

Menurutnya, difahamkan bayaran yang dikenakan lebih rendah antara RM80 hingga RM100 seorang, berbanding caj di klinik swasta antara RM150 hingga RM400 bergantung kaedah berkhatan digunakan.

"Saya berharap program berkhatan secara beramai-ramai setiap kali tiba musim cuti persekolahan dijadikan budaya, sokongan pemimpin dapat memeriahkan lagi aktiviti diadakan.

"Kanak-kanak juga lebih berani dan yakin apabila bertemu rakan mereka yang sama-sama berkhatan," katanya pada Program Khatan Perdana di Surau Balok Permai, di sini semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan (Adun) Beserah, Andansura Rabu dan Pengerusi Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Taman Perumahan Balok Permai, Ahmad Sufian Abdul Rajab.

Program anjuran KRT Taman Perumahan Balok Permai itu disertai seramai 46 kanak-kanak termasuk 11 anak yatim berusia tiga hingga 12 tahun.

Hamdan berkata, usaha yang dilakukan KRT Taman Perumahan Balok Permai diharap menjadi contoh kepada KRT lain supaya dapat menganjurkan program berkhatan setiap tahun.

Menurutnya, program berkenaan juga dapat mengeratkan lagi hubungan dikalangan masyarakat setempat apabila setiap aktiviti dilakukan secara gotong-royong.

Bagi Ahmad Sufian, program khatan perdana kali ini memasuki musim ke enam dianjurkan pihaknya, tahun lalu seramai 60 kanak-kanak dikhatankan.

"Kali ini seramai 11 anak yatim yang tinggal di dua rumah jagaan daerah ini diberi peluang turut sama berkhatan tanpa dikenakan sebarang bayaran.

"Kita akan terus mengadakan khatan perdana dalam usaha meringankan beban keluarga apabila setiap kanak-kanak hanya dikenakan bayaran RM90," katanya yang terpaksa mengehadkan jumlah penyertaan atas nasihat pihak berkuasa.

Disiarkan pada: December 12, 2021 @ 9:14am
d