mutakhir

Bomba cedera, meninggal dunia

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat yang cedera ketika operasi pemadaman kebakaran di sebuah kilang di sini, meninggal dunia, awal pagi hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat, Mazuki Ismail berkata, anggota terbabit, Mohd Firdaus Sulaiman, 32, meninggal dunia di Hospital Segamat, jam 4.15 pagi

Beliau berkata, mangsa cedera ketika operasi memadam kebakaran kilang di sini, pada 11 Disember lalu.

"Jenazahnya akan dikebumikan di Jalan Zaitun, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan," katanya hari ini.

Mazuki berkata, Mohd Firdaus, sudah berkhidmat di balai bomba berkenaan sejak tahun 2013.

Katanya, Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Nurul Jannah Abd Hamid Khan, 29, dan anak perempuan Aisy Alisha Mohd Firdaus, 3.

Media sebelum ini melaporkan pada kejadian 10 pagi, Sabtu lalu itu, seorang anggota bomba dan seorang anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang cedera parah, manakala seorang lagi anggota bomba melecur akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu, di Segamat,

Mangsa adalah Syed Putra Syed Mohd Al Atas, 52; Mohd Firdaus dan anggota ERT kilang Mohamad Azuraini Mahrani, 40.

Kesan letupan menyebabkan Mohd Firdaus dan Mohamad Azuraini yang berada di tingkat tiga tercampak kira-kira 10 meter ke tingkat bawah, manakala Syed Putra yang berada di tingkat bawah melecur di belakang kepala selepas terkena bahang letupan,.

Susulan kejadian, Mohd Firdaus dan Mohamad Azuraini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat, manakala Syed Putra menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.

Berita berkaitan:

  • Dua pegawai bomba, seorang anggota ERT kilang cedera akibat letupan kebakaran
  • Disiarkan pada: December 13, 2021 @ 9:00am
    d