mutakhir

Kemalangan 11 kenderaan: Saksi kejadian diminta tampil - Polis

Oleh BERNAMA

Bukit Mertajam: Sebanyak 11 kenderaan termasuk bas ekspres terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 139.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Perai di sini hari ini.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan pada kejadian 2.30 petang itu, namun beberapa pemandu dan penumpang kenderaan yang terbabit dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila bas dari arah Butterworth itu yang dalam perjalanan ke Ipoh, Perak disyaki hilang kawalan melanggar sebuah kereta yang berada di hadapannya sebelum melanggar sembilan lagi kenderaan yang berada di laluan sama.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Shafee berkata, mereka yang menjadi saksi kemalangan itu diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Sufi Abdul Razak di talian 0134774542 atau 04-5382222.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan teruk di sepanjang 15 kilometer lebuh raya berkenaan apabila kedua-dua lorong terhalang, sebelum kesemua kenderaan yang terbabit berjaya dialihkan kira-kira 5 petang.

Perkongsian pengguna media sosial menyatakan kemalangan itu turut membabitkan sebuah van polis jenis Toyota Hiace selain kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan Honda Stream, kereta Perodua Myvi dan Perodua Axia, serta beberapa kenderaan lain.

Berita berkaitan

Bas ekspres dipercayai hilang kawalan, rempuh 10 kenderaan

Disiarkan pada: December 13, 2021 @ 11:55pm
d