mutakhir

Empat kereta terbakar

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Empat kereta yang diletakkan di kawasan parkir berhampiran Blok E Apartment P5R3, Presint 5, di sini, terbakar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya dan polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 2.26 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, berlaku kebakaran membabitkan Proton Persona, Honda City, Honda BRV dan Perodua Myvi di kawasan parkir blok berkenaan.

Katanya, kebakaran itu menyebabkan dua kereta Honda hangus dan Proton Persona serta Myvi terbakar sedikit.

"Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

"Siasatan kebakaran dijalankan forensik bomba dan polis sedang mendapatkan keterangan daripada pemilik kenderaan bagi membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2021 @ 12:20pm
d