mutakhir

Banyak daerah pedalaman Sarawak kini dilengkapi jalan raya

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Sejak lebih lima dekad lalu, bot ekspres menjadi pengangkutan utama menghubungkan Sibu dengan daerah berdekatan lain.

Berikutan kedudukan Sibu sebagai bandar utama dan terbesar di wilayah tengah Sarawak, bot ekspres untuk ke destinasi lain seperti Song, Kapit, Belaga, Sarikei, Pasin, Kuala Rajang, Daro, Igan dan Dalat semuanya berpangkalan di bandar itu.

Justeru, sebuah terminal yang lengkap dengan segala kemudahan disediakan dan ia menjadi antara lokasi paling sibuk di Sibu.

Namun, suasana sibuk di Terminal Penumpang Sibu sedikit demi sedikit beransur hilang sejak beberapa tahun lalu apabila rangkaian jalan raya siap dibina bagi menghubungkan daerah di tebing Sungai Batang Rajang, Sungai Batang Igan dan Batang Lassa.

Tahun lalu, jalan raya menghubungkan Sibu dengan Kapit siap dibina sekali gus bermakna ia petanda berakhirnya fungsi bot ekspres sebagai pengangkutan utama menghubungkan bandar pentadbiran kawasan pedalaman Hulu Rajang itu dengan Sibu.

Sehingga tahun lalu, jumlah bot ekspres yang menghubungkan Sibu dan Kapit mencecah lebih 10 setiap hari.

Namun kini, hanya dua bot beroperasi yang menyediakan perkhidmatan dari Terminal Penumpang Sibu ke destinasi di Baleh dan Putai di Hulu Rajang.

Kru bot ekspres, Steven Dana, 58, berkata, dua bot ekspres itu bergilir-gilir setiap hari ke destinasi di Hulu Rajang berkenaan yang memakan masa perjalanan kira-kira enam jam.

"Beginilah keadaan kami pengusaha bot ekspres ketika ini. Penumpang hanya untuk ke Putai serta Baleh sahaja dan ada juga yang ke rumah panjang di tebing sungai yang masih belum dihubungi jalan raya.

"Terminal ini pula dahulu cukup meriah sehingga pada masa tertentu, seperti ketika perayaan Gawai Dayak dan Krismas, ia sesak dengan orang ramai setiap hari," katanya yang sudah 30 tahun bertugas sebagai kru bot ekspres.

Namun, Steven yang berasal dari Kanowit tidak mengeluh sebaliknya pasrah dengan perubahan yang berlaku.

"Dahulu, bot ekspres dari Sibu ke Kapit berlepas setiap jam bermula jam 5 pagi hingga jam 3 petang. Ia bermakna, lebih 10 bot beroperasi untuk sehala setiap hari.

"Kini hanya dua bot yang masih beroperasi tetapi saya sedar, masanya sudah tiba untuk pengangkutan ini bersara," katanya.

Penduduk Kapit, Allan Jenang, 47, pula berkata, mungkin sudah tiba masa kemeriahan Terminal Penumpang Sibu hanya tinggal dalam lipatan sejarah Sarawak.

"Memang manis untuk dikenang suasana sibuk dan meriah di terminal ini setiap hari sejak berpuluh tahun lalu.

"Tetapi zaman berubah dan penduduk Kapit sejak dahulu lagi mengharapkan jalan raya dibina untuk menghubungkan bandar itu dengan Sibu. Kini, impian mereka sudah jadi kenyataan," katanya.

Menurut Allan, berhenti bergantung kepada pengangkutan sungai bermakna Sarawak, khususnya kawasan pedalaman seperti Kapit, kini semakin maju.

"Dulu ada yang kata kawasan seperti Kapit mustahil untuk dibina jalan raya kerana bentuk muka buminya. Bagaimanapun, dengan adanya kerajaan yang prihatin, tiada yang mustahil boleh dilakukan untuk memastikan rakyat hidup lebih selesa," katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2021 @ 12:47pm
d