mutakhir

Suspek kes samun ditahan selepas akad nikah

Oleh Zaid Salim

Kemaman: Seorang kelindan lori ditahan polis sebaik selesai akad nikah semalam bagi membantu siasatan kes samun bersenjata berkumpulan dan bersenjata pada September lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan di Pejabat Agama Daerah Kemaman kira-kira jam jam 12 tengah hari.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan jenayah itu bersama dua lagi rakan berusia 29 dan 33 tahun yang sudah ditahan dan didakwa di mahkamah pada 22 November lalu.

"Pengantin baru itu turut memiliki satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dua kes Seksyen 15 (1) ADB 1952," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Hanyan, suspek dipercayai melakukan jenayah itu bersama dua rakan pada kira-kira jam 4 petang di sebuah rumah sarang burung di Mukim Mak Lagam, di sini.

Katanya, ketika kejadian, mangsa yang sedang bekerja di rumah sarang burung berkenaan mendakwa didatangi empat lelaki dengan seorang daripada mereka memiliki senjata api.

Hanyan berkata, kumpulan penjenayah itu turut merampas sebuah telefon bimbit milik mangsa dan melarikan dua guni berisi sarang burung

Katanya, suspek direman tujuh hari sehingga 20 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: December 14, 2021 @ 3:42pm
d