mutakhir

RM60,000 dedak hangus, 200 lembu nyaris rentung [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: "Mujur bomba pantas mengawal kebakaran, jika tidak sudah tentu kira-kira 200 lembu yang dibela turut rentung dalam kebakaran."

Begitu kata pemilik kandang yang mahu dikenali sebagai Wan, 39, mengenai kebakaran yang membabitkan tempat penyimpanan dedak lembu di Jalan Belakang Rumah Panjang, Lorong Kulit di sini, hari ini.

Wan berkata, kejadian itu disedari empat pekerjanya kira-kira jam 12 tengahari ketika sedang melakukan proses membungkus susu lembu segar.

Katanya, pekerjanya terlihat api menjulang di bahagian simpanan dedak itu sebelum menghubungi talian kecemasan.

"Terdapat dua kandang lembu di bahagian kiri dan kanan tempat penyimpanan dedak itu, mujurlah kepantasan bomba berjaya mengawal api daripada merebak.

"Syukur semuanya selamat namun saya kerugian RM60,000 kerana semua dedak lembu yang disimpan hangus sama sekali," katanya ketika ditemui.

Difahamkan kandang lembu yang dibina sejak lebih 30 tahun itu turut memasarkan susu dan lembu ke utara serta selatan tanah air.

Sementara itu Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Sha'ari Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.19.

Katanya, sebaik jentera tiba, didapati api sedang marak di premis berkenaan dan terdapat kandang lembu di sebelah tempat penyimpanan itu.

"Kita berdepan kesukaran bagi mendapatkan bekalan air dari pili berhampiran iaitu kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.

"Anggota mengambil masa kira-kira 20 minit bagi memadamkan sepenuhnya kebakaran," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: December 15, 2021 @ 4:05pm
d