mutakhir

Caj RM1 pengeluaran antara bank dikenakan semula Februari

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Caj transaksi sebanyak RM1 akan dikenakan semula kepada pengguna yang membuat pengeluaran wang tunai di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) antara bank mulai 1 Februari tahun depan.

Sebelum ini, pengguna boleh menikmati kemudahan pengecualian caj RM1 yang dikenakan ke atas pemegang kad bagi mana-mana mesin ATM sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula tahun lalu.

Berdasarkan pemerhatian Harian Metro, setakat ini antara bank yang memaklumkan langkah itu kepada pelanggannya menerusi makluman media sosial adalah CIMB Malaysia, Bank Islam Malaysia Berhad, Maybank, RHB Bank, Citibank dan HSBC.

Menurut Maybank, mulai 1 Februari 2021, caj transaksi RM1 untuk pengeluaran wang tunai antara bank di ATM akan dilaksanakan semula.

"Pelanggan Maybank masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di ATM Maybank," katanya.

Menurut CIMB, "Pelanggan yang dihormati, berkuat kuasa pada 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di ATM/mesin layan diri bukan CIMB Bank/CIMB Islamic".

Bank Islam pula memaklumkan, "Bagi pemegang kad Bank Islam, tiada caj dikenakan untuk pengeluaran menggunakan ATM Bank Islam".

Buat masa ini, pengecualian caj transaksi sebanyak RM1 diteruskan apabila kerajaan memaklumkan sebarang keputusan sama ada sehingga bila ia akan diteruskan atau ditamatkan bergantung kepada Kementerian Kewangan.

Jika sebelum PKP, mana-mana pengguna yang ingin mengeluarkan wang di ATM selain bank dilanggan mereka akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM1.

Disiarkan pada: December 15, 2021 @ 8:41pm
d