mutakhir

Anak pemandu traktor penerima Anugerah Pingat Emas Canselor USM [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Anak pemandu traktor antara graduan yang menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dan diraikan pada Upacara Konvokesyen Ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, hari ini.

Khaw Teng Kang, 25, dari Cheras, Kuala Lumpur juga adalah penerima Anugerah Pingat Emas Canselor yang disampaikan Canselor Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada sidang pertama upacara berkenaan di Istana Arau, 2 Disember lalu.

Teng Kang berkata, dia mendedikasikan anugerah itu kepada bapa, Khaw Toong Nam, 62 dan ibunya, Lee Kar Nee, 62, yang juga suri rumah kerana tidak jemu membantu serta mendorongnya sehingga tamat pengajian.

Menurutnya, kejayaan itu sudah tentu akan mengubah nasib mereka sekeluarga selain menjadi inspirasi kepada adik bongsunya yang sedang menyambung pengajian di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka.

"Seterusnya jika ada peluang, saya mahu menyambung pengajian dalam negara kerana mahu berbakti kepada tanah air.

"Bukannya tiada peluang belajar di luar negara, tetapi institusi pengajian di Malaysia kini juga sudah setanding dengan antarabangsa.

"Saya berpegang kepada prinsip 'cuba dahulu barulah kita tahu hasilnya'," kata anak sulung daripada dua beradik itu ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Muhammad 'Izzat Mohd Zubir, 25, turut terpilih menerima Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-Raja Malaysia kategori Bumiputera.

Anak kelahiran Balik Pulau itu berkata, dia memang meminati bidang fizik sejak di bangku sekolah menengah dan mempunyai keinginan bagi mendalami bidang berkenaan.

"Saya tidak ada cara khusus belajar, cuma fokus dan 'enjoy' dengan fizik kerana sangat meminati bidang itu.

"Kini saya bekerja sebagai penganalisis penyelidikan di Cyberjaya dan sudah memohon bagi melanjutkan pengajian ke luar negara tetapi terpaksa menangguhkan dahulu peluang itu atas sebab tertentu," katanya yang juga bekas Pelajar Terbaik Pulau Pinang pada 2005 itu ketika ditemui.

Turut diraikan ialah penerima Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-Raja Malaysia kategori bukan Bumiputera iaitu graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) Tan Mei Fen, 25, serta graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan (Kepujian) Dr Muhammad Mujaahid Mohd Amin, 25, yang menerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor.

Seramai 687 graduan menerima ijazah masing-masing pada sidang keenam, hari ini, yang dipengerusikan Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur.

Pada upacara itu, seramai 5,964 graduan menerima ijazah dalam bidang masing-masing pada sidang kedua hingga ke-10 yang berlangsung pada 13 hingga 21 Disember di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM, di sini.

Disiarkan pada: December 17, 2021 @ 3:21pm
d