mutakhir

Rev Media Group terima anugerah majikan prihatin

Oleh Nur Amirah Abd Rani

REV Media Group dipilih sebagai salah satu penerima anugerah 'Majikan Prihatin' oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), baru-baru ini. 

Pengiktirafan berkenaan berikutan usaha syarikat itu mengambil orang kurang upaya (OKU) bekerja di bawah Insentif Pengambilan Pekerja (Program PenjanaKerjaya 3.0). 

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata, program itu usaha untuk memberikan peluang  sama rata kepada golongan berkenaan menyumbang kepada ekonomi negara. 

"Ini membuktikan tiada golongan terabai mahupun tercicir oleh Kementerian Sumber Manusia termasuk golongan Orang Kelainan Upaya yang perlu diberikan peluang pekerjaan yang sama rata, seperti pencari kerja yang lain. 

Walaupun tergolong dalam golongan OKU kategori kurang upaya fizikal, Mohd Akmal Shapii, 25, dipilih bertugas sebagai Eksekutif Jurutera Data di REV Media Group dan mula berkhidmat sejak Jun lalu ketika negara masih dalam fasa pandemik. 

Menurut Akmal, dia seorang yang normal ketika lahir namun selepas kejadian terjatuh dari buai ketika berumur tiga bulan, kakinya patah dan semakin lemah dan sudah tidak mampu berjalan. 

"Saya mula menggunakan kerusi roda sejak dari zaman sekolah rendah. Sebelum itu masih boleh berjalan seperti biasa namun selepas beberapa kali kejadian kaki patah, doktor mengesahkan saya mengalami osteogenesis imperfecta, gangguan tulang sejak dari dari lahir," katanya. 

Akmal menegaskan majikan tidak perlu takut mengambil warga OKU bekerja kerana mereka boleh bertugas seperti orang biasa. 

Menurutnya, terdapat sesetengah majikan beranggapan OKU menjadi beban kepada mereka. 

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada REV Media Group, Media Prima dan PERKESO kerana memberi kepercayaan dan memberikan peluang untuk berkhidmat di syarikat," katanya lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif REV Media Group Samuel Wee berkata, kehadiran Akmal sesuatu yang perlu dibanggakan kerana beliau percaya Akmal mampu mengguna pakai kemahiran dan bakat sama seperti orang lain.

"Di REV Media Group kami sentiasa mengalu-alukan bakat dan kebolehan tanpa mengira keadaan fizikal mereka," katanya.

Anugerah itu disampaikan M Saravanan di Karnival Kerjaya Orang Kurang Upaya (OKU) bertempat di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Disiarkan pada: December 17, 2021 @ 6:24pm
d