mutakhir

Lukisan mural unik Sepang tarik perhatian

Oleh Samadi Ahmad

Sepang: Beri 'nyawa' terhadap bangunan lama melalui projek Mural Art@ BBST Walk di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) di sini, yang kini menjadi tarikan pelancongan baharu di daerah ini dan Selangor.

Berkonsepkan tempat pelancongan menarik di daerah ini, mural dihasilkan turut menekankan elemen budaya dan cara hidup masyarakat setempat berbilang kaum.

Majlis pelancaran Mural Art@BBST itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail hari ini.

Rodziah melahirkan rasa bangga terhadap usaha Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) yang berjaya mewujudkan satu lagi mercu tanda dan pusat pelancongan baharu di Selangor.

Menurutnya, inisiatif itu selaras dengan hasrat kerajaan Selangor untuk menyediakan kemudahan yang ceria dan harmoni kepada rakyat khususnya yang tinggal di luar bandar.

Katanya, usaha mewujudkan kawasan tumpuan pelancongan membabitkan masyarakat setempat dan pemilik premis ini adalah suatu inisiatif yang baik diadakan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menghargai dan memulihara hasil seni.

"Projek ini secara tidak langsung dapat menyokong konsep berdaya huni di kawasan ini terutama dalam mengindahkan bangunan lama, sekaligus mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap lorong belakang," katanya kepada media pada Majlis Pelancaran BBST Walk@Sepang dan Program Bebas Plastik Sempena Sambutan Ulangtahun MPSepang Ke-16 semalam.

Turut hadir, Yang Di Pertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussin, Timbalanya, Zulnaidy Zulkifli dan Pegawai Daerah Sepang,Khairi Azali Ibrahim.

Rodziah berkata, BBST Walk@Sepang ini adalah projek di bawah Kajian Rekabentuk BBST 2018 menggunakan peruntukan Wang Amanah Caj Pemajuan dengan kos RM4.9 juta.

Menurutnya, antara eleman utama BBST Walk@Sepang yang sedia ada dan dinaiktaraf adalah dataran awam, menaik taraf 22 pusat penjaja, pengindahan bangunan serta menaik taraf lorong belakang (Mural Art@ BBST) di Medan 88 dan Medan 23 serta menaik taraf laluan pejalan kaki dan basikal.

Katanya, projek Mural Art@BBST ini bermula pada awal September dan berjaya disiapkan pada pertengahan Oktober memaparkan tempat-

tempat menarik di daerah ini.

"Dengan mengekalkan konsep kehijauan bandar mampan dan berdaya huni ,projek pengindahan ini dilihat sebagai inisiatif untuk menaik taraf lokasi pelancongan di Sepang bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke sini," katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2021 @ 2:38pm
d