mutakhir

9 laluan di Shah Alam ditutup

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Sembilan laluan jalan raya di bawah pentadbirannya ditutup akibat banjir ekoran hujan lebat sejak dua hari lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, antara lokasinya adalah laluan jalan di Persiaran Setia Alam menghala ke Meru dan masuk ke Shah Alam.

"Jalan raya di kedua-dua arah dinaiki air dan hanya kenderaan berat sahaja boleh melalui jalan banjir.

"Begitu juga Persiaran Jubli Perak Seksyen 19 terdapat pokok tumbang. Bulatan Melawati ke Bulatan Jubli Perak laluan tidak boleh dilalui.

"Bulatan Megawati arah ke Seksyen 19 juga tidak boleh dilalui. Lampu Isyarat Persiaran Jubli Perak tidak boleh dilalui dan jalan dilencongkan ke Sri Muda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramsay berkata, jalan Persiaran Permai menghala ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) hanya boleh dilalui satu lorong sahaja oleh kenderaan berat sahaja.

"Persiaran Sukan di hadapan MSU di Seksyen 13 juga dinaiki air juga tidak boleh dilalui.

"Di kilometer 14.6 Lebuhraya Persekutuan dari Shah Alam ke Kuala Lumpur jalan tidak boleh dilalui. Hanya lorong paling kanan boleh dilalui oleh kenderaan berat.

"Lebuhraya LKSA dari arah susur Bulatan Jubli Perak ke Plaza Tol Seri Muda juga tidak boleh dilalui," katanya.

Beliau berkata, Kilometer 8.5 Lebuhraya NKVE (Plaza Tol Shah Alam) dari kedua-dua arah dinaiki air dan tidak boleh dilalui.

"Begitu juga Jalan Bukit Kemuning dari Persiaran Kuala Selangor ke Sri Muda jalan tidak boleh dilalui. Selain itu, Lebuhraya ELITE kedua-dua arah juga tidak boleh dilalui," katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2021 @ 9:37pm
d