mutakhir

Ratusan kenderaan terkandas di Lebuhraya KL-Karak

Oleh Safeek Affendi Razali dan Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Pengguna jalan raya dan ratusan kenderaan yang melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) terkandas selepas berlaku tanah runtuh dan pokok tumbang di Kilometer 62.9 menghala ke Bentong.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar ketika dihubungi mengesahkan insiden dan berkata, anggotanya sedang digerakkan ke lokasi kejadian.

"Saya mengesahkan kejadian. Di kilometer yang dikongsikan pengguna di Facebook. Apa-apa perkembangan lanjut kita akan maklumkan nanti," katanya kepada BH Onlilne ketika dihubungi malam ini.

Sementara itu, pelakon dan pengacara, Fizo Omar yang berada di lokasi kejadian, turut berkongsi video puluhan kenderaan terkandas selepas laluan berkenaan terhalang disebabkan tanah runtuh dan pokok tumbang.

"Tanah runtuh di lebuh raya Karak menghala ke Kuala Lumpur. Semua kereta 'stuck' di sini. Mahu patah balik ke Karak pun tak boleh sebab banjir, air sudah mula 'cross' jalan dan tak lepas untuk kenderaan.

"Sesiapa yang rancang untuk ke Kuala Lumpur melalui lebuh raya Karak ini, sila 'KIV' (tangguhkan) dulu. Memang tidak lepas," katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2021 @ 2:32am
d