mutakhir

Mangsa kebakaran Flat Sri Johor terima RM1,000 [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Mangsa yang kediaman mereka terbabit dengan kebakaran di Flat Sri Johor, Cheras, di sini, masing-masing akan menerima bantuan kewangan berjumlah RM1,000.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lapan keluarga di flat berkenaan juga bakal menerima rumah baharu yang akan disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Seperti yang saya umumkan di Selangor pada pagi tadi mengenai bantuan kepada mangsa bencana, kebakaran juga adalah bencana.

"Jadi kita akan memberikan juga RM1,000 untuk setiap mereka yang terbabit, yang jadi mangsa kebakaran.

"Ada lapan unit semuanya yang terbabit dengan kebakaran ini. Semuanya di tingkat empat, (tingkat) ketiga tidak ada kebakaran.

"Menteri Wilayah Persekutuan (Datuk Seri Shahidan Kassim) dan Datuk Bandar (Datuk Mahadi Che Ngah) akan menyediakan rumah yang baharu untuk mereka pindah," katanya pada sidang media selepas meninjau kebakaran di Flat Sri Johor malam ini.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim Dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah).

Ismail Sabri turut meluangkan masa untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai kejadian berkenaan daripada pegawai berkaitan, termasuk bertemu dengan mangsa.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pihak bomba sedang menjalankan siasatan ke atas kediaman membabitkan 32 keluarga di tingkat tiga flat berkenaan bagi menentukan sama ada ia boleh diduduki semula.

Sekiranya tidak berbahaya, beliau berkata, keluarga berkenaan boleh kembali ke rumah masing-masing.

"Keadaan semakin terkawal dan dikawal oleh pihak bomba. Cuma setakat ini kita tempatkan mereka (mangsa) dulu di dewan untuk sementara mereka pindah balik dan juga untuk lapan keluarga itu mendapat rumah yang baharu," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 9.20 malam lapan rumah di tingkat lima Blok 31 Perumahan Awam Sri Johor, Cheras di sin terbakar.

Api dipercayai bermula di bahagian tengah blok berkenaan sebelum merebak di keseluruhan tingkat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, setakat ini, bomba masih menyiasat sama ada kejadian membabitkan kemalangan jiwa.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas.

Menurutnya, kebakaran dipercayai bermula di bahagian tengah blok berkenaan sebelum merebak di keseluruhan tingkat.

Berita berkaitan

Disiarkan pada: December 20, 2021 @ 12:38am
d