mutakhir

Pencinta si bulus selamatkan haiwan peliharaan dari bah

Oleh Samadi Ahmad

Dengkil: Menyedari ramai mangsa banjir tidak sempat menyelamatkan kucing peliharaan kerana perlu bergegas meninggalkan kediaman masing-masing selepas air naik mendadak, sekumpulan penduduk Kampung Cemperai di sini, menjalankan gerakan mencari dan menyelamat haiwan itu di kampung berkenaan dan Kampung Seri Tanjung sejak Sabtu lalu.

Wakil penduduk berkenaan, Hazimun Rahman Mohammad, 33, berkata, idea itu tercetus selepas melihat banyak si bulus terperangkap di atas bumbung kereta dan rumah ketika kejadian banjir besar di kawasan itu pada Sabtu lalu.

Menurutnya, apabila menyedari tempat tinggal mereka dinaiki air secara tiba-tiba, ada dalam kalangan penduduk yang panik dan bergegas menyelamatkan diri serta terlupa nasib kucing peliharaan mereka.

Katanya, seramai 15 sukarelawan terbabit dalam usaha mengesan kucing yang ditinggalkan mangsa banjir di sekitar kampung itu termasuk di Kampung Tengah dan Taman Gemilang.

"Selain membawa kucing terbabit ke tempat yang selamat, kami juga menyelamatkan arnab dan memberi makan sementara menunggu pemiliknya mengambil semula binatang peliharaan itu."

"Kami menggunakan sebuah sampan bagi mengesan kucing yang terperangkap disamping menerima bantuan kenderaan pacuan empat roda untuk meredah banjir bagi kerja menyelamat," katanya.

Hazimun berkata, kerja menyelamat itu dilakukan secara sukarela kerana mereka juga pencinta kucing dan haiwan itu juga perlu diselamatkan.

Menurutnya, kira-kira 50 ekor kucing dari pelbagai spesies berjaya diselamatkan dan diletakkan dalam sangkar khas supaya tidak terlepas ke kawasan banjir.

"Kami tidak menyangka inisiatif ini turut mendapat banyak sokongan ramai termasuk ada pihak yang menyumbang makanan kepada kucing berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2021 @ 6:32pm
d