mutakhir

Suami saran jadikan gambar nikah sebagai wallpaper sebelum ditemui lemas

Oleh Samadi Ahmad

Sepang: "Arwah suami sarankan saya letak gambar kami ketika bernikah sebagai 'wall paper' telefon pintar ketika menghantar saya ke tempat kerja di Nilai, Negeri Sembilan pagi Sabtu sebelum dia dilaporkan hilang petang itu," kata Siti Haida Aliza.

Siti Haida, 26, adalah isteri kepada Muhamad Syafiq Saharuddin, 26, yang ditemui lemas di sebuah tali air berhampiran Desa Salak Pekerti, Kampung Labu Lanjut di sini, semalam.

Siti Haida berkata, pagi itu, suaminya bertolak ke Batang Kali, Selangor untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan selepas menghantarnya ke tempat kerja.

Menurutnya, dia tidak menyangka saranan suaminya umpama bertujuan mengabdikan kenangan mereka berdua buat selama-lamanya.

Katanya, kejadian itu sangat meruntun jiwanya kerana mereka baharu seminggu bernikah selepas lapan tahun menjalin persahabatan.

"Selepas bernikah 12 Disember lalu, suami mengambil cuti sehingga majlis persandingan kerana dia memaklumkan, ingin menghabiskan masa berdua sepanjang cuti di rumah sewa kami di Kampung Baru Lanjut.

"Petang sebelum kejadian, suami hubungi saya memaklumkan rumah sewa kami dinaiki air. Saya beritahu suami supaya mengambil barangan dan pakaian persandingan namun tidak menyangka paras air tinggi," katanya.

Menurut Siti Haida, berita kehilangan suaminya dimaklumkan oleh rakan-rakan namun dia cuba bersikap positif dengan berharap suaminya itu tidak dapat dihubungi akibat masalah cuaca dan hujan.

"Malam itu, saya balik ke rumah ibu bapa di Nilai kerana keesokan harinya (Ahad), kami akan mengadakan majlis di Senawang.

"Sepanjang malam saya cuba hubungi suami namun gagal. Pagi Ahad, ketika bersiap untuk ke lokasi majlis perkahwinan, ahli keluarga memaklumkan suami ditemui lemas," katanya.

Menurut Siti Haida, ketika itu, hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaannya.

"Saya reda dengan ketentuan Allah SWT. Walaupun baru seminggu melangsungkan perkahwinan, arwah adalah suami yang bertanggungjawab dan penyayang," katanya.

Terdahulu, jenazah Muhamad Syafiq disembahyangkan di Masjid Kampung Lanjut sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lanjut.

Ibu arwah, Fatimah Taib, 53, dan bapanya, Saharuddin Mat, 53, turut berada di masjid berkenaan.

Sementara itu, Saharuddin berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah ialah pada petang Jumaat lalu dan beliau tidak sempat bersembang kerana mempunyai urusan lain.

"Dua hari sebelum meninggal dunia, anak hadiahkan saya senaskah al-Quran terjemahan dan saya cukup gembira kerana sudah lama ingin mendapatkannya.

"Arwah juga cukup gembira kerana impiannya untuk berumahtangga dengan gadis pilihan tercapai. Walaupun sedih, saya reda dengan pemergiannya," katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2021 @ 1:13am
d