mutakhir

Sediakan pek makanan untuk sukarelawan banjir

Oleh Hadzlan Hassan

Shah Alam: Tenaga pengajar dan pengurusan Maahad Tahfiz Ismail, Puncak Alam berganding bahu dengan sukarelawan tempatan terdiri dari Pemuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam membantu golongan yang terkesan ketika banjir.

Banjir yang berlaku di hampir seluruh tanah air baru-baru ini mengakibatkan ramai pihak mengalami kerosakan rumah dan harta benda serta terputus bekalan makanan dan minuman.

Justeru, mereka berganding bahu untuk menyediakan 1,500 pek makanan yang akan dihantar kepada sukarelawan banjir di sekitar Lembah Klang bermula petang kelmarin.

Program tajaan sepenuhnya Puncak Niaga Holdings berhad (PNHB) itu dilaksanakan di Maahad Tahfiz Ismail, Puncak Alam.

Pengerusi PNHB, Tan Sri Rozali Ismail berkata, dalam program itu sukarelawan menggunakan peralatan dan perkakasan dapur di Maahad Tahfiz Ismail selama tiga hari berturut-turut.

"Bermula pada 21 Disember, sebanyak 1,500 pek makanan disediakan bagi edaran kepada sukarelawan dan mangsa banjir di beberapa kawasan di Lembah Klang untuk makan malam. Pada 22 Disember, 3,000 pek makanan disediakan untuk makan tengah hari dan malam manakala 3,000 pek makanan lagi akan disediakan untuk makan tengah hari dan malam pada 23 Disember 2021.

"Kita maklum bahawa ramai sukarelawan dari seluruh negara datang ke Lembah Klang bagi menghulurkan bantuan dari pelbagai aspek. Mereka cuma datang dengan membawa peralatan untuk digunakan di dalam misi menyelamat. Mereka perlukan tenaga untuk terus melaksanakan misi-misi berkenaan. Apa yang warga Puncak Alam dan Maahad Tahfiz Ismail lakukan untuk tiga hari ini adalah sebagai penghargaan bagi membalas jasa baik mereka yang bertungkus lumus melaksanakan misi ini dan menyelamat mangsa banjir di sekitar Lembah Klang," katanya.

Untuk program pertama PNHB di Dengkil katanya, Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun turut serta mengagihkan pek makanan ke kawasan sekitar terutama perkampungan Orang Asli di Bukit Gadong yang turut terkesan akibat bencana banjir.

Disiarkan pada: December 22, 2021 @ 4:08pm
d