mutakhir

Menteri perjelas fungsi Nadma dalam pengurusan bencana

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Puchong: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bertanggungjawab menyelia dan membantu pihak berkuasa peringkat daerah serta negeri untuk mengurus bencana sekiranya diperlukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, apabila sesuatu bencana berlaku, pihak berkuasa di lapangan, misalnya pegawai daerah adalah pihak yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Katanya, kuasa itu diperturunkan kepada mereka selaras arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No 20 (Dasar dan Mekanisma Pengurusan Bencana Negara).

"Jadi sebagai contoh di daerah Baling, Kedah jika berlaku banjir maka pegawai daerah di situlah yang kena mengurus semua sekali, di mana Nadma hanya memberi garis panduan mengikut arahan MKN No 20.

"Kita tetap membantu sebagai urusetia kerana Nadma hanya berada di pusat di mana ia ditubuhkan untuk kerajaan Pusat," katanya kepada Harian Metro ketika ditemubual di Pusat Kawalan Bencana Negara, di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab salah faham yang timbul berkaitan tugas dan peranan Nadma susulan kenyataannya dalam sesi penggulungan di Dewan Rakyat pada 15 November lalu yang disalah tafsir sehingga tular di media sosial.

Dr Abdul Latiff berkata, Nadma tidak mempunyai kakitangan di peringkat daerah dan negeri kerana pengurusan bencana diuruskan kerajaan negeri yang pengerusinya adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, manakala di peringkat daerah pula adalah pegawai daerah.

"Malah ada yang bertanya kenapa urusan pembayaran lambat apabila berlaku bencana, maka perlu dijelaskan segala pembayaran bukan melalui Nadma tetapi pejabat daerah.

"Apabila pejabat daerah melengkapkan dokumen berkaitan bencana itu, mereka akan menghantar kepada Nadma di mana jika mengikut prosedur dalam tempoh 30 hari, tetapi ada juga yang melengkapkan dokumen dalam tempoh tiga ke empat hari dan selepas itu kita akan memberi peruntukan wang terbabit, tetapi segala proses pembayaran melalui pejabat daerah," katanya.

Beliau berkata, Nadma hanya mempunyai 50 kakitangan sahaja dan beliau mengakui sesuatu institusi tidak sempurna selagi ditadbir manusia.

"Mengenai banjir berlaku di Selangor, kita (Nadma) sudah membantu dari hari pertama lagi kejadian berlaku, malah tidak pernah dalam sejarah Nadma melarang mana-mana orang termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu, tetapi maklumkan terlebih dahulu supaya kita boleh selaraskan bantuan itu," katanya.

Katanya, Nadma bukan anti kepada NGO cuma perlu memaklumkan kepada mereka demi keselamatan mereka sendiri.

Disiarkan pada: December 22, 2021 @ 6:47pm
d