mutakhir

Rakaman audio 'Can I advise you something' mengarut - Rosmah

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Datin Seri Rosmah Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini kandungan rakaman audio mengandungi ayat "Can I advise you something?" adalah tidak benar dan tiada siasatan saintifik untuk membuktikan ia adalah suaranya.

Rosmah, 70, berkata demikian ketika ditanya sama ada kandungan audio itu benar, semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam perbicaraan pembelaannya yang menghadapi tiga pertuduhan berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Sri Ram: Saya katakan kepada anda kandungan rakaman itu benar. Adakah anda bersetuju?

Rosmah menjawab, "Tidak, mengarut semata-mata."

Rosmah tidak bersetuju dengan cadangan Sri Ram bahawa suara dalam rakaman itu adalah suaranya.

Sri Ram: Anda mengesahkan suara dalam rakaman itu adalah suara anda dan suami anda (Datuk Seri Najib Tun Razak)?

Rosmah: Tidak, saya tidak dapat mengesahkannya, kerana tidak ada siasatan saintifik dilakukan mengenainya.

Sri Ram: Saya turut menyatakan kepada anda bahawa semasa perbualan itu, anda membuat rujukan berhubung pelantikan jawatan awam.

Rosmah: Saya tidak bersetuju.

Rosmah tidak bersetuju dengan Sri Ram bahawa beliau tidak mahu dikaitkan dengan kandungan rakaman audio berkenaan kerana rakaman itu mengesahkan beliau menasihatkan suaminya berhubung pelantikan jawatan awam.

Sri Ram berkata, beberapa saksi dalam perbicaraan itu termasuk bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor, telah memberi keterangan di mahkamah bahawa ia adalah suara Rosmah dan Najib.

Bagaimanapun, Rosmah membalasnya dengan berkata, "Dan anda sepatutnya mempercayai mereka."

Ketika ini, Sri Ram meninggikan suaranya dan berkata, Rosmah tidak sepatutnya menyoalnya semula.

Sri Ram: Anda tidak boleh tanya saya soalan. Anda mahu bertengkar dengan saya?

Rosmah menjawab, "Saya tidak bertengkar dengan anda. Saya nak jawab".

Pada ketika ini, Hakim Mohamed Zaini Mazlan mencadangkan Rosmah mendengar soalan pihak pendakwaan dan memendekkan jawapannya kerana peguamnya akan membuat pemeriksaan semula.

Sejurus selepas hakim memberikan arahannya, Rosmah menjawab, "Datuk Seri (Sri Ram), janganlah jerit-jerit dekat saya. Saya tak biasa orang jerit-jerit dekat saya," katanya.

Terdahulu, Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kredibiliti Rosmah berhubung dakwaan memberi keterangan bercanggah dalam perbicaraan kes itu selepas memutuskan pendakwaan itu tidak perlu memandangkan Rosmah memberikan penjelasan berhubung dakwaan percanggahan itu.

Percubaan pihak pendakwaan untuk mencabar kredibiliti Rosmah berhubung dakwaan beliau memberi keterangan bercanggah dalam perbicaraan projek solar dan kenyataan yang diberikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes pengubahan wang haram.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, ketika Rosmah memberikan keterangannya kepada SPRM pada 3 Oktober 2018 berhubung kes pengubahan wang haramnya, beliau berkata tidak mengenali atau tidak pernah berjumpa Saidi Abang Samsudin (bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd) dan Rayyan Radzwill Abdullah (bekas rakan perniagaan Saidi).

Ahmad Akram berhujah bahawa semasa prosiding sebelum ini dalam perbicaraan solar, Rosmah memberi keterangan bahawa beliau tidak mengenali Saidi dan Rayyan (saksi pendakwaan utama) sebelum pertemuan pertamanya dengan mereka pada 2016.

Pada 18 Februari, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah menghadapi satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan secara rundingan terus.

Perbicaraan bersambung esok.

Disiarkan pada: December 23, 2021 @ 7:03pm
d