mutakhir

Penternak ikan kerugian lebih RM1.4 juta [METROTV]

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Kerugian lebih RM1.4 juta dialami 73 penternak ikan air tawar di lima daerah negeri ini selepas kejadian banjir sejak Jumaat lalu.

Jumlah kerugian dijangka terus bertambah apabila banyak sangkar dan kolam di Temerloh, Jerantut, Bentong, Lipis, Maran dan Pekan, musnah.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, kerugian penternak akuakultur di negeri ini dijangka terus meningkat berikutan keadaan banjir yang masih berlaku di beberapa daerah.

Menurutnya, tempat ternakan ikan yang dijaga serta diuruskan oleh ahli dalam komuniti di Estet Ikan Paya Chempaka (15 hektar), Estet Ikan Paya Lanar (25 hektar) dan Estet Ikan Paya Lubuk Kawah (31 hektar), Temerloh juga ditenggelami banjir menyebabkan ikan terlepas dan keluar dari tasik berkenaan.

"Jabatan menjangkakan jumlah kerugian sebenar adalah lebih tinggi membabitkan semua daerah selepas aduan dan penilaian dibuat apabila banjir surut sepenuhnya nanti.

"Banyak sangkar ikan sepanjang Sungai Pahang di Temerloh, Jerantut, Lipis, Maran dan Pekan musnah dibawa arus deras air, selain ditimpa pokok tumbang.

"Justeru, saya berharap penternak akuakultur dan juga nelayan darat dapat melaporkan butiran kerugian aktiviti perikanan mereka akibat bencana banjir kepada Jabatan Perikanan selepas ini," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan semakan sebelum mengemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) untuk pertimbangan bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian (TBP).

Abdullah menambah, jabatan simpati dengan apa yang dialami penternak dan pengusaha akuakultur di negeri ini dan berharap mereka tabah menghadapi ujian yang tidak dijangka ini.

Disiarkan pada: December 24, 2021 @ 8:30am
d