mutakhir

Peguam teliti aset lain milik Sajat

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Peguam sedang meneliti aset lain yang dimiliki usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat bagi menyelesaikan baki pampasan kepada OWA Resources Sdn Bhd.

Difahamkan, aset terbabit berkemungkinan dipertimbangkan untuk dilelong seperti dilakukan terhadap barangan di kediaman usahawan itu di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Dalam lelongan kedua Rabu lalu, pembida berusia 67 tahun memenangi bidaan pada harga RM42,000.

Peguam Nurul Hafidzah Hassan dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors berkata, tindakan lain akan diteruskan pihaknya yang mewakili OWA Resources iaitu bekas stokis utama perniagaan bengkung dan girdle milik Sajat.

"Kita mungkin akan teruskan tindakan lain tapi perlu tahu aset apa dia ada baru boleh teruskan.

"Namun setakat ini tiada maklumat atau arahan lanjut (berkenaan tindakan seterusnya)," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan akan diambil terhadap pembida yang menghilangkan diri selepas memenangi bidaan kali pertama berjumlah RM132,000, Nurul Hafidzah berkata, belum ada keputusan mengenainya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki memenangi bidaan barangan di kediaman Sajat pada harga RM132,000 daripada keseluruhan lapan pembida yang mengambil bahagian dalam proses lelongan awam berkenaan.

Bagaimanapun, lelaki itu menghilangkan diri apabila tidak dapat dihubungi oleh pihak peguam selepas keluar dengan memberikan alasan untuk menguruskan bank draf menyebabkan proses lelongan dikira terbatal kerana kegagalan membuat bayaran mengikut masa ditetapkan.

Sehubungan itu, sesi lelongan kedua dilakukan dengan disertai oleh tiga pembida dan seorang daripadanya berjaya memenangi bidaan berkenaan.

Proses lelongan terbabit dilakukan selepas mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi Shah Alam berikutan kegagalan Sajat membayar pampasan kepada bekas stokis utama itu.

Disiarkan pada: December 26, 2021 @ 11:16am
d