mutakhir

Rebat 100 peratus bil elektrik Disember

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi rebat 100 peratus secara 'one-off' bagi bil elektrik bulan ini kepada mangsa banjir yang terjejas bagi meringankan beban mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia membabitkan 72,000 pelanggan domestik dan tidak membabitkan kilang.

"Rebat bil elektrik ini bermakna bil akan dipulangkan balik dan ia hanya 'one-off' bagi bulan Disember.

"Saya juga meminta TNB untuk membantu kediaman mangsa banjir B40 apabila bekalan elektrik disambung semula dan pendawaian (dilakukan) secara percuma.

"Kita tahu rumah lama terendam dalam air dan berbahaya jadi TNB sudah membuat pemeriksaan dan melakukan pendawaian percuma di Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur," katanya pada sidang media di Masjid Al-Muttaqin, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri membuat tinjauan ke kawasan terjejas banjir di sekitar Hulu Langat.

Beliau kemudian meninjau pembersihan surau Al Munir yang difahamkan menjadi 'penyelamat' penduduk yang menaiki bumbung surau itu dalam kejadian pada Sabtu itu

Perdana Menteri seterusnya ke beberapa lokasi melihat proses gotong-royong pembersihan kawasan taman tersebut oleh sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pasukan keselamatan terlibat.

Ismail Sabri berkata, bagi pemilik kenderaan pula, pihak Perodua menawarkan rebat perkhidmatan tunda, diskaun ke atas alat ganti terpilih dan upah buruh percuma untuk pemilik kenderaan Perodua yang terjejas akibat banjir.

"Perodua bersetuju untuk tidak mengenakan upah bagi servis dan memberikan 50 peratus diskaun kepada gantian alat ganti.

"Saya difahamkan Menteri Kewangan akan berunding dengan syarikat kereta lain dan saya harap lebih banyak syarikat mengikut jejak langkah ini," katanya.

Disiarkan pada: December 26, 2021 @ 1:52pm
d