mutakhir

Kelestarian alam sekitar perlu untuk kurangkan impak bencana alam

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kelestarian alam sekitar perlu dijadikan fokus utama negara untuk menghadapi banjir dalam tempoh jangka masa panjang.

Selain itu, kesedaran mengenai pengurusan sisa pepejal dengan baik boleh membantu mengurangkan impak bencana itu sesuai dengan ekosistem sedia ada.

Presiden Persatuan Lestari Alam Malaysia Rashdan Rashid berkata, isu bencana banjir bukanlah baru di negara ini namun ia terus berulang dan membabitkan beberapa lokasi baharu sejak kebelakangan ini.

"Perubahan iklim berlaku di seluruh dunia…kita semua tahu dan tidak boleh elak.

"Tetapi apa yang penting, kita perlu kurangkan impak kepada negara kita dengan mengambil kira beberapa langkah jangka masa pendek dan panjang berdasarkan faktor yang sudah dikenal pasti," katanya.

Beliau berkata, antara usaha yang tidak boleh dipandang ringan adalah penanaman semula pokok bagi menambahkan kawasan hijau di dalam negara.

Katanya, dengan cara itu, ia akan mengurangkan impak bencana banjir kerana ekosistem sedia ada tidak akan terganggu.

"Satu lagi, kita perlu ada kesedaran mengenai pengurusan sisa pepejal yang baik seperti diamalkan di beberapa negara maju.

"Jepun adalah contoh terbaik untuk kaedah ini. Sebelum ini mereka juga dilanda banjir, tetapi dengan pengurusan sampah yang baik, proses pemulihan berjalan dengan baik," katanya.

Rashdan berkata, ketika ini, pengumpulan data untuk barangan kitar semula jadi adalah perlu bagi pihak berkuasa membuat anggaran berapa banyak sampah yang dihasilkan.

Data berkenaan akan membantu persiapan sekiranya berlaku banjir besar di lokasi yang sudah dikenal pasti

Selain itu, kerajaan juga perlu melihat semula projek pembangunan yang tidak dirancang dengan baik bagi memastikan banjir skala besar tidak berlaku lagi pada masa depan.

Katanya, kelulusan sesuatu projek bergantung kepada beberapa keadaan dan ia sepatutnya memenuhi semua kriteria ditetapkan.

"Tapi dalam kes tertentu ada projek yang dibangunkan secara haram. Ini yang menimbulkan masalah kerana tiada kajian impak yang menyebabkan keadaan bertambah buruk bila banjir," katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2021 @ 4:09pm
d