mutakhir

LHDN kutip cukai RM143.9 bilion seperti disasarkan

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mengutip hasil cukai negara melebihi RM143.9 bilion seperti disasarkan untuk tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN Datuk Mohd Jaafar Embong berkata, rekod itu satu perkembangan baik walaupun negara masih berdepan penularan Covid-19 serta bencana banjir namun pembayar cukai tidak culas menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Saya tiada data terperinci kutipan kerana perlu tunggu selepas hujung tahun, namun apa yang saya boleh katakan kita berjaya capai melebihi sasaran kerajaan.

"Memang kita ada memberi beberapa kelonggaran kepada pembayar cukai terutama terjejas Covid-19, namun pembayar cukai masih menunaikan tanggungjawab mereka," katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Program Kasih Prihatin-MAIWP di Pusat Komuniti Sentul Perdana, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Jaafar menjelaskan, peruntukan baharu menerusi pindaan Akta Cukai Pendapatan 1967 tidak memberi kuasa mutlak kepada pihaknya mengakses akaun bank pembayar cukai dengan sewenang-wenangnya kerana ia hanya membabitkan kes perintah garnisi sahaja.

"(Pembayar cukai) jangan bimbang kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengakses maklumat mereka.

"Kita perlu dapatkan kebenaran mahkamah terlebih dulu dan hanya untuk kes garnisi sahaja," katanya.

Khamis lalu, Persidangan Dewan Negara meluluskan pindaan Akta Cukai Pendapatan 1967 di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2021.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohd Shahar Abdullah ketika menggulung perbahasan RUU itu dilaporkan berkata, prosiding garnisi adalah proses untuk menguatkuasakan penghakiman wang dengan menyita atau menahan hutang yang perlu dibayar kepada mana-mana pihak kerana tunggakan cukai yang belum dijelaskan pembayar cukai.

Disiarkan pada: December 29, 2021 @ 4:25pm
d