mutakhir

'Oh ular kau pun cari tempat berlindung, aku pun cari perlindungan'

Oleh Safeek Affendy Razali

Kajang: Dua wanita warga emas yang menyelamatkan diri daripada banjir dengan duduk di atas bumbung rumah tidak menyangka seekor ular sawa turut cuba 'menumpang' berlindung.

Kejadian pada malam 18 Disember lalu di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, di sini, berakhir tanpa sebarang kejadian tidak diingini, pada ketika dua mangsa terbabit bersama dengan ular sawa itu selama hampir 10 jam.

Mangsa, Asiah Osman, 63, berkata, dia dan adiknya berusia 62 tahun terpaksa memanjat ke bumbung rumah selepas banjir lumpur menenggelamkan rumah diduduki sejak 40 tahun lalu selepas air naik sehingga tiga meter.

"Saya memanjat bumbung rumah pada 7 malam bersama adik dan empat kucing peliharaan kami selepas air naik akibat hujan tidak berhenti dari pagi.

"Semasa berada atas bumbung, saya terlihat seekor ular sawa betul-betul di balik bumbung belakang saya, namun saya terpaksa rahsiakan perkara itu daripada adik kerana bimbang dia akan panik dan terjun ke dalam air banjir," katanya ketika ditemui semasa penugasan bantuan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, di Kampung Sungai Lui, hari ini.

Menurutnya, susulan itu, dia berdoa dan berbisik dalam hati supaya ular itu tidak mengancam keselamatan diri dan adiknya serta kucing peliharaan mereka.

"Saya katakan oh ular kau pun cari tempat berlindung, aku pun cari perlindungan, kau jangan ganggu aku dan aku pun tidak akan ganggu kau.

"Sehinggalah air mulai surut dan tiada lagi arus deras pada 5 pagi, ular itu masuk ke dalam air sebelum kami turun ke tanah," katanya.

Asiah berkata, sebelum kejadian pada 7 malam itu, dia bersama adik dan anak angkatnya tinggal dalam rumah itu ketika hujan lebat sejak pagi.

Menurutnya, pada mulanya dia menjangka situasi sama seperti sebelum ini, namun selepas waktu Maghrib, air dari sungai dan dari arah bukit di belakang rumahnya bertembung dan menyebabkan arus deras sebelum naik ke paras bumbung.

"Masa itu saya terus mengarahkan anak angkat panjat pokok langsat selepas jambatan rumah kami dinaiki air sepenuhnya manakala saya dan adik memanjat bumbung rumah.

"Saya dah serik, kalau lepas ni hujan turun dua selama dua jam, saya akan terus keluar dari rumah dan cari tempat selamat, nyawa lebih penting berbanding harta benda," katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2021 @ 5:13pm
d