mutakhir

Isu timbunan balak di Sungai Telemong: Tunggu siasatan JPNP - MB Pahang

Oleh Roselan Ab Malek

Temerloh: "Biar Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) buat siasatan lanjut, hari ini saya difahamkan Pengarah (JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin) akan masuk ke lokasi terbabit," kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau memberi reaksi itu bagi mengulas isu timbunan sisa kayu dan balak di Sungai Telemong, Bentong, selepas banjir yang berlaku pada 18 Disember lalu.

Ada pihak yang mendakwa timbunan sisa kayu serta balak itu berpunca daripada kegiatan penerokaan hutan secara haram di kawasan terbabit.

Untuk itu, Wan Rosdy berkata, JPNP sudah diminta menyiasat dakwaan berkenaan secara terperinci dan orang ramai diharapkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu itu.

"Banyak sangat andaian, jadi kita tunggu laporan daripada JPNP, semua pihak diminta menunggu hasil siasatan dan tidak membuat sebarang kesimpulan.

"Saya tidak menetapkan tempoh siasatan tetapi biarkan jabatan berkenaan menyiasat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh di sini, hari ini.

Khamis lalu, beberapa pengguna laman sosial Facebook berkongsi video berdurasi 45 saat mengenai timbunan balak itu sehingga menimbulkan perbualan dalam netizen yang mendakwa ia berpunca akibat penerokaan secara haram.

Disiarkan pada: December 29, 2021 @ 5:49pm
d