mutakhir

Baucar RM1,000 untuk baiki, ganti kenderaan rosak

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Baucar RM1,000 untuk pembaikan atau pembelian bagi menggantikan kenderaan peribadi rosak total antara inisiatif diberikan kerajaan kepada mangsa banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif diperkenalkan itu dapat meringankan beban mangsa banjir yang mengalami kerosakan kenderaan peribadi mereka.

Beliau berkata, hampir semua syarikat kereta menawarkan khidmat tunda percuma selain potongan harga lebih 25 peratus bagi kenderaan rosak akibat banjir.

"Perodua akan menyediakan perkhidmatan tunda kereta ke pusat servis Perodua secara percuma dan bersetuju memberikan kos upah baik pulih dan servis berkaitan secara percuma dan diskaun 50 peratus ke atas alat ganti.

"Manakala Proton bersetuju memberi diskaun alat ganti sebanyak 50 peratus bagi kebanyakan model serta menawarkan caj tunda dan cuci kereta secara percuma di pusat servis mereka yang berdaftar.

"Bagi syarikat kereta lain pula, hampir semua bersetuju menyediakan perkhidmatan tunda kereta secara percuma dan diskaun sebanyak 25 peratus atau lebih untuk alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis berdaftar.

"Malah beberapa syarikat pula menawarkan bayaran secara ansuran sehingga tempoh satu tahun," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, bagi menambah akses tunai kepada mangsa, Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan dana keseluruhan RM100 juta menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 tanpa faedah dengan tempoh bayaran balik sehingga 41 bulan termasuk moratorium bayaran balik selama enam bulan.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia menyediakan dana RM500 juta menerusi Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) melalui bank komersial iaitu sehingga RM500,000 kepada pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan sehingga RM75,000 kepada usahawan mikro.

Menurutnya, tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun termasuk moratorium bayaran balik untuk enam bulan dengan kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun.

"Permohonan untuk pinjaman BSN dan dana DRF sudah mula dibuka Isnin lalu dan sehingga semalam, BSN menerima nilai permohonan sebanyak RM25 juta dan meluluskan pinjaman bernilai RM10 juta.

"Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) menubuhkan Rangkaian Respon Bencana GLIC/GLC(GDRN) bagu menggerakkan usaha menangani dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju untuk menyediakan pemberian baucar kepada mangsa banjir bagi pembelian peralatan elektrik rosak.

Menurutnya, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak boleh memohon dan mendapatkan baucar bernilai RM500 ketika membuat pembelian secara fizikal di kedai dan pasar raya berdaftar atau di platform e-dagang diiktiraf Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Disiarkan pada: December 29, 2021 @ 7:05pm
d